Syamsul Yusof Menangis di Majlis Tayangan Filem Munafik

25 Februari 2016. 2.19 PM
33,494
Filem
Syamsul Yusof Menangis di Majlis Tayangan Filem Munafik

Pelakon dan pengarah terkenal, Syamsul Yusof tidak sempat menghabiskan ucapannya selepas menitiskan air mata di majlis pra tonton filem terbaru arahannya, Munafik baru-baru ini.

Syamsul , 31, menjelaskan dia pernah terfikir untuk berhenti mengarah kerana kecewa hasil kerjanya, KL Gangster 2 tersebar di internet sebelum tarikh tayangan tiba.

“Apabila melihat hadirin yang datang majlis pra tonton Munafik malam ini, saya rasa terharu. Sebelum ini saya pernah berhasrat mahu berhenti mengarah kerana terlalu kecewa apa yang terjadi dengan KL Gangster 2,” katanya menitiskan air mata dan meminta maaf kerana tidak dapat meneruskan ucapan.

Syamsul yang ditemui selepas tayangan berkata, dia mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan skrip filem Munafik selain mendapat pandangan dan nasihat pakar agama berkaitan penggunaan Al-Quran.

“Filem ini bukan hanya sekadar filem seram semata-mata tetapi ianya juga sarat dengan pengertian Munafik itu sendiri. Penggunaan hadith juga turut mendapat nasihat pakar agama tetapi saya tidak boleh beritahu siapa individu tersebut,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia gembira dengan penampilan Nabila Huda yang yang berjaya memegang watak Maria dengan baik sekali.

“Sewaktu saya menulis skrip Munafik, saya memang sudah tahu watak Maria sebenarnya adalah Nabila. Saya gembira dan  rasa bersyukur kerana dia berjaya bawakan watak tersebut dengan baik sekali,” jelas Syamsul.

Bgaimanapun kata Syamsul, dia tidak mengharapkan filem tersebut mendapat sambutan penonton kerana telah memberikan yang terbaik untuk menghasilkan Munafik.

“Saya tidak mengharapkan sambutan yang baik di pawagam kerana saya telah lakukan yang terbaik untuk filem Munafik dan harapan saya mesej yang dibawakan sampai kepada para penonton. Apa yang paling penting mesej yang dibawakan dalam filem ini sampai kepada penonton,” katanya.

Filem Munafik yang bakal ditayangkan bermula Khamis, 25 Februari ini turut menampilkan pelakon seperti Pekin Ibrahim, Datuk Rahim Razali, Fizz Fairuz, Sabiran Ali, dan A. Galak.

Teks Oleh: Khalid Rahman


Artikel Berkaitan


Komen