Shake Tersingkir Kerana Kurang Latihan

27 Februari 2016. 2.29 PM
10,098
Hiburan
Shake Tersingkir Kerana Kurang Latihan

Kumpulan Shake mengakui yang kurangnya latihan menjadi punca mereka tersingkir di minggu kelima Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).

Dianggotai oleh Bell Ngasri, Amir dan Mie Raja Lawak, masalah teknikal juga menjadi antara sebab penyingkiran mereka.

"Kami rasakan kesilapan yang kami lakukan sehingga menjadi penyebab kami tersingkir ialah kerana kurangnya sesi rehearsal.

"Masalah teknikal antara kami sendiri seperti terlupa skrip juga menjadi salah satu sebab. Kami menerima penyingkiran ini dengan tangn terbuka dan menganggap rezeki kami hanya sampai di minggu kelima," kata Bell mewakili kumpulan Shake.

Jika ada antara kumpulan yang tersingkir pada minggu sebelum ini tidak berpuas hati dengan komen juri, Shake mempunyai pendapat yang sebaliknya.

"Kami sentiasa terbuka dengan kritikan yang membina. Kali ini, komen yang diberikan oleh barisan juri adalah positif. Kami sendiri nampak ia sebagai sesuatu yang bagus untuk menyedarkan kami," kata Bell.

Tambah Amir, mereka akan mengambil maklumbalas yang diterima untuk memperbaiki persembahan mereka di masa akan datang.

"Insya-Allah jika diberi peluang untuk menyertai MLM di tahun akan datang, kami akan mengambil komen-komen yang diterima untuk membuat penambahbaikan bagi memantapkan lagi persembahan kami," katanya.

MLM 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal, bersiaran setiap hari Jumaat, pukul 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut!

Teks oleh: Kamaruddin Razal


Artikel Berkaitan


Komen