Pengacara Yatt Hamzah atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 36, selamat bergelar isteri kepada juruvideo, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26, dengan sekali lafaz pada jam tepat 9.00 pagi di Masjid Negeri Shah Alam.

Pernikahan kali kedua Yatt ini disempurnakan oleh Pendaftar Kanan Perkahwinan Cerai dan Rujuk Pejabat Agama Daerah Petaling, Ustaz Muhamad Sujak Muhamad Dasuki.

Zulfadhli menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 kepada Yatt namun jumlah wang hantaran dirahsiakan. Pihak lelaki memberi sembilan dulang hantaran manakala pihak perempuan membalas 11 dulang hantaran.

Majlis pernikahan diadakan secara sederhana ini dihadiri kira-kira 100 orang ahli keluarga terdekat kedua belah pihak dan juga rakan-rakan kepada pasangan mempelai.

“Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah kerana semuanya sudah selamat. Saya berharap semua peminat mendoakan kesejahteraan saya dan perkahwinan ini.

“Terima kasih juga kepada keluarga saya dan keluarga mertua yang banyak membantu kami di hari bahagia ini. Harapan saya, semoga penyatuan dua hati ini sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah,” kata Yatt.

Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan di Shah Alam pada hari ini dalam suasana tertutup.

Sebelum ini, Yatt pernah mendirikan rumah tangga dengan Abdul Mutalib Shukor pada 2009 namun mereka bercerai pada Ogos tahun lalu. Mereka dikurniakan seorang anak, Suci Haninia Malika yang kini berusia enam tahun.

Tahniah Astro Gempak ucapkan kepada Yatt dan suami! Semoga perkahwinan yang dibina kekal sehingga anak cucu.