Terima Watak Hariz, Keith Foo Tak Mahu Dibandingkan Dengan Aaron Aziz

2 Mac 2016. 1.45 PM
13,071
Hiburan
Terima Watak Hariz, Keith Foo Tak Mahu Dibandingkan Dengan Aaron Aziz

Bakal membawakan watak Hariz dalam teater Ombak Rindu April ini, pelakon Keith Foo akui gementar untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Menurut Keith, dia mengambil masa seminggu berfikir mengenai tawaran tersebut memandangkan ini kali pertama dirinya berlakon teater.

“Secara jujurnya sebaik saja ditawarkan watak Hariz, saya mengambil masa selama seminggu sebelum berikan jawapan.

“Disebabkan ini kali pertama berlakon teater, saya rasa takut sekiranya tidak dapat bawakan watak tersebut dengan baik.

“Tapi bila difikirkan kembali, ini merupakan peluang  baik untuk saya mengasah lagi bakat lakonan dan saya sahut cabaran tersebut,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Keith lagi, disebabkan watak itu juga dia telah menolak beberapa tawaran berlakon hanya untuk memberikan fokus kepada teater Ombak Rindu.

“Kita semua tahu nama Hariz itu agak besar dan memberikan impak terhadap filem Ombak Rindu yang dilakonkan oleh Aaron Aziz sebelum ini.

“Saya pasti ramai yang meletakkan harapan tinggi terhadap lakonan saya dan ia agak memberikan tekanan buat saya.

“Sebab itu saya mengambil inisiatif untuk masuk kelas teater dan juga tolak beberapa tawaran lakonan untuk berikan fokus sepenuhnya terhadap Hariz,” ujarnya.

Dalam pada itu, Keith juga berharap agar lakonannya nanti tidak dibandingkan dengan Aaron Aziz.

“Dengan memegang watak tersebut, sudah pasti ramai yang akan membuat perbandingan terhadap lakonan saya dan Aaron.

“Saya mungkin akan menjadikan filem Ombak Rindu itu sebagai garis panduan untuk watak tersebut namun melalui pendapat secara peribadi saya rasa lakonan kami tak akan sama.

“Ini kerana cara penyampai dalam filem dan teater agak berlainan, tidak ada ruang  untuk melakukan kesilapan dalam teater kerana ia dilakonkan secara live.

“Saya akan memberikan yang terbaik untuk teater tersebut dan berharap mampu menjiwai watak Hariz dengan baik,” jelasnya.

Teater Ombak Rindu bakal menemui penonton di Istana Budaya mulai 22 April hingga 1 Mei depan.

Selain Keith, pelakon yang terlibat adalah Zarina Zainoordin, Karl Shafek, Izzue Islam, Zaidi Omar, Aris Lufias dan Ameer (Forteen).


Artikel Berkaitan


Komen