Jangan Bandingkan Saya Dengan Fara Fauzana – Haiza

5 Mac 2016. 12.08 AM
25,154
Hiburan
Jangan Bandingkan Saya Dengan Fara Fauzana – Haiza

Peserta program Gegarvaganza musim kedua, Haiza memohon agar dirinya tidak dibandingkan dengan penyampai radio popular, Fara Fauzana.

Haiza yang kini bergelar penyampai radio stesen baru Kool FM disamping AG sedar pastinya ada pihak yang akan membandingkan dirinya dengan Fara yang merupakan gandingan AG sebelum ini di Hot FM.

“Saya sedar ada yang memberi komen yang mengatakan nada suara saya mirip nada suara Fara yang serak-serak basah, ada juga yang mengatakan cara ketawa saya sama dengan Fara. Sejujurnya, saya sendiri melihat Fara sebagai seorang yang mempunyai banyak pengalaman.

“Saya memohon agar tidak dibandingkan saya dengan Fara. Dalam bidang penyiaran, dia seorang yang sangat jauh di hadapan, manakala saya baru sahaja mahu merangkak. Saya masih belajar dan akan terus belajar memperbaiki cara penyampaian saya,” kata Haiza kepada Astro Gempak.

Tambah Haiza, Fara merupakan antara orang pertama yang berjumpa dengan dirinya dan memberi kata-kata semangat untuk Haiza menggalas tugas sebagai penyampai radio.

“Fara antara orang pertama yang berjumpa dengan saya dan memberikan kata-kata semangat. Dia berkongsi pengalamannya dan menasihati saya dari pelbagai aspek, baik dari segi penyampaian, cara penggunaan media sosial, dunia penyiaran radio dan sebagainya,” kata Haiza lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Haiza bersama AG bersiaran di segmen PHD Kool bermula jam 6.00 sehingga 10.00 pagi, setiap Isnin dan Jumaat di Kool FM. Haiza juga dalam proses untuk mengeluarkan single terbarunya yang  berentak slow rock.

Teks oleh: Kamaruddin Razal


Artikel Berkaitan


Komen