Pelakon Zara Zya memberitahu ramai peminat mahu dia mencuba bidang nyanyian bagi mengembangkan karier seninya.

Namun menurut Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razie Bte Mohd Zainuddin, dia terpaksa menolak permintaan tersebut kerana belum bersedia selain jadual kerjanya yang padat.

"Apabila peminat tonton video saya menyanyi di Instagram, ramai pula yang suruh cuba bidang nyanyian. Ada yang cadangkan saya keluarkan single atau album sebab nak tengok saya cuba buat benda baru selain berlakon.

“Tapi saya belum bersedia kerana terlalu sibuk dengan bidang lakonan dan belum ada keberanian untuk bergelar seorang penyanyi,” kata Zara Zya kepada Astro Gempak.

Jelas Zara, dia tidak mempunyai vokal yang unik seperti sesetengah penyanyi selain mengalami masalah Stage Fright.

“Tidak dinafikan saya boleh menyanyi, tetapi tidak mungkin untuk jadi seorang penyanyi profesional kerana saya tidak mempunyai vokal yang unik seperti penyanyi zaman dahulu. Kalau suara saya sedap dan orang tahu itu suara Zara Zya mungkin boleh dipertimbangkan.

“Ditambah lagi saya mempunyai masalah gugup di atas pentas, jadi rasanya baik saya fokus dengan bidang lakonan sahaja,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia tahu kemampuannya sebagai seorang penyanyi dan tidak sehebat lambakan penyanyi yang sedia ada.

“Saya rasa vokal saya tak setanding dengan penyanyi yang ramai lebih hebat. Setakat jadi penyanyi keluar dengan satu single atau album selepas itu senyap, rasanya tidak perlu. Saya tahu kemampuan sebagai seorang penyanyi di tahap mana,” katanya lagi.

Bakal muncul sebagai hos Nota Kilauan Emas Otai, Zara mengakui mempunyai tanggungjawab yang sangat besar walaupun hanya duduk di belakang pentas.

“Walaupun orang nampak tugas yang terlalu kecil untuk mengendalikan segmen Nota Kilauan Emas Otai, tetapi saya rasa ini satu tugasan yang besar kerana saya perlu buat para penonton teruja untuk menonton program Kilauan Emas Otai.

“Tambahan pula ini pertama kali saya bergelar seorang hos, harapan supaya penglibatan saya dalam Kilauan Emas memberi suatu pengalaman yang baru dalam bidang pengacaraan,” katanya mengakhiri perbualan.

Program Kilauan Emas Otai menampilkan pelakon, Zara Zya sebagai pengacara untuk Nota Kilauan Emas Otai sementara Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin atau Kak Engku kekal sebagai pengacara.

Konsert pertama Kilauan Emas Otai bakal berlangsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras pada 9 Mac depan bermula jam 9.30 malam di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Layari www.kilauanemas.com.my untuk info lanjut.