Tindakan pengacara terkenal Datuk Aznil Hj Nawawi (Pak Nil) menunjukkan beberapa foto fesyen artis Malaysia kepada hos program E! Hollywood, Giuliana Rancic berjaya menarik perhatiannya.

Foto-foto tersebut dibawa khas oleh Pak Nil ke Hollywood untuk ditunjukkan kepada personaliti fesyen tersebut dan meminta pandangannya mengenai gaya selebriti di negara ini.

Menurut Pak Nil, dia berbangga kerana dipilih sebagai wakil media untuk menemubual Giuliana secara eksklusif walaupun masa yang diberikan agak terhad.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bertemu Giuliana dan bagi saya itu satu pengalaman yang menarik.

“Saya telah sediakan sebanyak 18 keping gambar di dalam ipad mini yang saya bawa dan memintnya untuk memberikan komen terhadap fesyen yang digayakan oleh selebriti tempatan.

“Tujuan saya buat demikian kerana tak mahu nampak klise dengan wakil media lain yang hanya menemubual seperti biasa. Jadi saya terpaksa fikirkan sesuatu yang unik untuk menjadikan interview itu lebih menarik dan tidak bosan.

“Nasib menyebelahi saya apabila foto-foto itu berjaya menarik perhatiannya dan dia juga terkejut dengan fesyen artis kita di karpet merah.

“Cuma saya sedikit kecewa kerana masa yang diberikan hanya lapan minit dan Giuliana tidak sempat menghabiskan komen terhadap 18 gambar itu.

“Antara artis yang sempat diberi komen ialah Scha AlYahya, Awal Ashaari, Didie Alias, Fazura, Hunny Madu, Diana Danielle dan Hanez Suraya.

“Tetapi yang menjadi pilihannya ialah busana yang digayakan oleh Hanez Suraya sehingga dia bersungguh-sungguh mahukan gaun tersebut,” katanya ketika ditemui pada sidang media Pak Nil Goes To Hollywood baru-baru ini.

Mengulas mengenai rancangan tersebut, pengacara berusia 54 tahun ini berbesar hati kerana dilamar dan diberi kepercayaan sekali lagi oleh pihak saluran E! mengendalikan program berkenaan.

“Ini merupakan siri kedua saya bersama saluran E! di mana program yang sebelum ini adalah Selfie Pak Nil di LA dan Alhamdulillah mendapat sambutan yang baik.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk mengendalikan program ini walaupun banyak muka-muka baru boleh diketengahkan,” ujarnya.

Jadi kepada anda yang ingin mengetahui aktiviti Pak Nil sepanjang berada di LA, jangan lupa untuk saksikan Pak Nil Goes To Hollywood jam 10.00 malam ini secara eksklusif di E! (saluran 712).