Gitaris Jepun, Pertunjukkan Udara & Tiket Percuma Antara Keistimewaan Konsert Search

16 Mac 2016. 1.50 PM
2,339
Hiburan
Gitaris Jepun, Pertunjukkan Udara & Tiket Percuma Antara Keistimewaan Konsert Search

Konsert Search 35 Tahun yang bakal berlangsung pada tarikh baru iaitu 30 Ogos depan menjanjikan persembahan hebat khas buat para peminat mereka.

Menurut vokalisnya, Amy mereka sepakat memilih tarikh tersebut kerana mahu meraikan ulang tahun mereka di ambang hari kemerdekaan.

“Tarikh baru yang dipilih ini begitu istimewa kerana ia merupakan ‘double celebration’ di mana pada hari tersebut ulang tahun ke 35 Search diraikan pada malam Merdeka.

“Penangguhan konsert dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan peminat kerana keadaan Stadium Merdeka kini masih lagi dalam proses baik pulih.

“Bagi kami peminat adalah nombor satu dan sebab itu kami telah menyediakan beberapa persembahan istimewa untuk mereka yang hadir ke konsert itu nanti.

“Search juga akan bergandingan dengan gitaris kumpulan Loudness yang popular di Jepun, Akira Takasaki.

“Selain itu, persembahan pertunjukkan udara juga turut disediakan dan pasti konsert ini akan menjadi kenangan manis buat peminat kami,” katanya ketika ditemui pada sidang media tarikh penangguhan Konsert Search 35 Tahun bertempat di Restoran Wondermama, Bangsar, pada Selasa.

Mengulas mengenai tiket, wakil penganjur Afjets Sdn Bhd, Shamil Yusof menjelaskan peminat yang sudah membeli tiket lebih awal sebelum tarikh penundaan akan diberikan satu tiket percuma.

“Perkara ini telah dipersetujui sendiri oleh Search di mana kami akan memberikan satu tiket percuma kepada peminat yang dah beli tiket lebih awal sebelum tarikh penundaan diumumkan.

“Kami berterima kasih terhadap sokongan yang diberikan dan pemberian itu adalah sebagai tanda penghargaan kami untuk mereka,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, konsert Search 35 tahun ini juga turut melibatkan pakar-pakar bertaraf antarabangsa yang akan mengendalikan pengurusan pentas dari segi penataan bunyi, pengcahayaan dan juga monitor.

Terdahulu, Search telah mengumumkan konsert yang dijadualkan berlangsung pada 9 April itu ditunda kepada 30 Ogos depan atas faktor keselamatan.

Perkara itu diumumkan semalam (Selasa) menerusi tiga buah radio tempatan.


Artikel Berkaitan


Komen