Pelawak Rahim R2, mengakui vokal Joey sewaktu minggu Muzikal banyak membantu kumpulan Joras di Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).

Rahim ketika ditemui Astro Gempak berkata, kebolehan Joey menyanyi dengan 'key' yang tinggi memberi kelebihan kepada Joras untuk menerima ‘Lima Ha’ daripada pihak juri.

“Joey banyak membantu Joras untuk minggu muzikal sehingga berjaya dapat ‘Lima Ha’. Strategi kami memang cari lagu yang mempunyai kekuatan vokal untuk dapatkan positif komen daripada penonton dan juri.

“Memang diakui Joey adalah senjata kami untuk tema di minggu ketujuh kerana saya sendiri tidak boleh menyanyi. Saya tidak boleh tonjolkan kelemahan pasukan, sebab tu Joey banyak main peranan untuk tema kali ini,” katanya.

Tambah Rahim, Shuk juga berjaya ‘menyelamatkan’ mereka di minggu muzikal kerana kekuatan karakter yang dibawa.

“Dari segi karakter, Shuk main peranan besar untuk Joras sebab dia sudah biasa dengan permainan parodi. Lebih-lebih lagi dia dan Joey adalah finalis untuk program Juara Parodi, jadi ia satu kelebihan untuk kumpulan kami,” kata Rahim.

Tambahnya lagi, dia rasa bersyukur kerana mereka bertiga semakin menunjukkan keserasian walaupun kumpulan mereka baru sahaja ditubuhkan.

“Alhamdulillah setakat ini keserasian makin baik dan idea-idea lebih senang untuk diolah apabila kami bertiga. Joras sendiri sudah memahami apa kehendak penonton sekarang di MLM 2016. Tidak dinafikan minggu pertama dan kedua kami masih cuba mencari rentak selain masih bereksperimen,” ujarnya.

Dalam pada itu Rahim tidak menafikan masih mengharapkan undian dan sokongan daripada peminat MLM 2016 kepada Joras.

“Untuk tarik peminat dan pengundi, persembahan kena bagus. Itu adalah matlamat utama Joras dan harapan kami supaya mereka di luar sana nampak perkara tersebut.

"Saya mahu mereka menilaikan kami dari segi idea yang kami bawakan dan Jalor berharap peminat untuk sentiasa sokong dan undi kami,” kata Rahim mengakhiri perbualan.

Minggu muzikal MLM 2016 menyaksikan kumpulan Cham, Puteh dan Enjen berada di 'bottom three' sebelum penyingkiran diumumkan.

Maharaja Lawak Mega 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran secara langsung dari Dewan Teater Selangor, Shah Alam setiap hari Jumaat bermula jam 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut.

Teks Oleh: Khalid Rahman