Hunny Madu Tolak Tawaran Jadi Penyampai Radio

17 Mac 2016. 2.18 PM
4,476
Hiburan
Hunny Madu Tolak Tawaran Jadi Penyampai Radio

Pengacara dan penyanyi, Hunny Madu atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 32, menolak tawaran untuk kembali menjadi seorang penyampai radio.

Pernah bertugas di stesen Fly FM selama enam tahun, Hunny mahu memberikan fokus terlebih dahulu terhadap dunia nyanyian.

“Selepas meninggalkan Fly FM pada tahun 2013, saya akui ada tawaran untuk kembali bergelar penyampai radio. Namun begitu, saya sendiri belum bersedia untuk kembali bertugas kerana saya mahu memberi tumpuan terhadap bidang muzik.

“Saya sendiri sedar yang jika saya kembali menjadi seorang penyampai radio, kerjaya saya sebagai penyanyi akan terbatas. Saya rindu untuk kembali berinteraksi dengan pendengar dan berharap akan kembali bergelar penyampai radio di masa akan datang. Sekarang ini, biar saya fokus terhadap bidang nyanyian dan pengacaraan,” kata Hunny kepada Astro Gempak.

Tampil dengan single ketiga yang bertajuk Hello, Hunny menampilkan kelainan dalam karya terbarunya berbanding dua single sebelum ini.

“Jika sebelum ini dua lagu terdahulu saya sangat kuat dengan pengaruh hip hop, lagu Hello merupakan sebuah lagu pop yang catchy dan easy listening. Saya juga menampilkan kelainan dengan berkolaborasi bersama dengan Aman Ra, seorang penyanyi rap yang berbakat,” katanya.

Lagu Hello merupakan hasil ciptaan Hunny sendiri manakala liriknya merupakan hasil kolaborasi bersama Aman Ra dan ianya telah disusun dan diterbitkan oleh AG Coco.

Sebelum ini, Hunny pernah tampil dengan album pertama yang berjudul Pulau Janji pada tahun 2011 dan sebuah Mixtape berjudul GoHard GoStan yang turut menampilkan lagu Gucci Dowh, kolaborasi Hunny bersama Kayda Aziz.

Teks oleh: Kamaruddin Razal.


Artikel Berkaitan


Komen