Komposer terkemuka, Datuk Adnan Abu Hassan, 57, menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.17 pagi Jumaat di Hospital Selayang.

Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital tersebut tengah malam Khamis kerana serangan angin ahmar, diabetes dan kegagalan buah pinggang.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Sungai Ramal Dalam, Kajang, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham dimandi, dikafan serta disolatkan di Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Astro Gempak mengimbas semula lima lagu ciptaan terbaik Allahyarham yang mendapat tempat di hati pendengar sehingga kini:

Jerat Percintaan - Datuk Siti Nurhaliza


Lagu ini merupakan lagu yang melonjakkan nama Siti dalam industri hiburan tempatan. Lagu ini juga melayakkan Siti memenangi Anugerah Juara Lagu pada tahun 1996.

Di Persimpangan Dilema – Nora


Lagu balada ini ternyata berhantu dan memperkenalkan nama Nora sebagai salah seorang penyanyi wanita berbakat. Lagu ini mara ke Anugerah Juara Lagu 1995 dan bertanding dalam kategori balada.

Camar Yang Pulang – Aishah


Lagu evergreen ini dimuatkan dalam album solo pertama Aishah yang diterbitkan sendiri oleh Allahyarham pada tahun 1990. Menariknya, album ini turut mengangkat nama dan muzik yang dibawa Allahyarham dalam arus industri muzik tempatan pada masa itu.

Puncak Kasih – Ziana Zain


Lagu balada ini sememangnya melekat di hati peminat. Menurut Ziana sendiri, Allahyarham merupakan individu pertama yang memberikannya lagu balada moden, sekali gus membuka ruang kepada saya dalam industri muzik tempatan. Lagu ini turut memenangi kategori Balada di Anugerah Juara Lagu 1998.

Bunga-Bunga Cinta – Misha Omar


Lagu ini merupakan karya yang menaikkan nama Misha dalam bidang nyanyian dan ia juga melayakkan Misha untuk memenangi Anugerah Juara Lagu 2003.