Zara Zya, Ayda Jebat Pencabar Terdekat – Janna Nick

21 Mac 2016. 2.54 PM
9,601
Hiburan
Zara Zya, Ayda Jebat Pencabar Terdekat – Janna Nick

Pelakon baru, Janna Nick yang memenangi trofi Aktres Pilihan di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 menamakan aktres Zara Zya dan Ayda Jebat sebagai pencabar terdekatnya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dipilih untuk menerima anugerah ini. Sesungguhnya, aktres yang tercalon semuanya hebat-hebat. Nama seperti Zara Zya dan Ayda Jebat boleh dikatakan sebagai pencabar terdekat tetapi rezeki berpihak kepada saya,” kata Janna.

Menang atas tiket drama bersiri Kau Aku Kita, Janna menjelaskan yang dia masih rasa gementar selepas memenangi anugerah tersebut kerana mahu memberikan yang terbaik kepada peminatnya.

“Rasa gementar itu masih belum hilang. Selepas dipilih, saya harus memikirkan bagaimana untuk memberikan yang terbaik untuk semua peminat yang menyokong saya. Saya tidak mahu mengecewakan mereka yang memberi sokongan kepada saya semenjak hari pertama saya melibatkan diri dalam dunia lakonan,” katanya lagi.

Turut terlibat dalam bidang nyanyian dengan single yang pertama berjudul Mungkin Saja, Janna menegaskan yang dia tetap memberikan fokus utama terhadap bidang lakonan dan dia akan cuba membahagikan masa terhadap dua bidang tersebut.

“Setakat ini, bidang nyanyian dan lakonan seimbang. Namun begitu, bidang lakonan tetap akan menjadi cinta pertama saya. Bidang nyanyian pun tidak mengambil masa yang lama berbanding lakonan dan saya akan cuba memberikan yang terbaik kepada kedua-dua bidang,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Janna bakal muncul dalam drama bersiri terbaru yang bakal disiarkan di Astro Ria, Suami Tanpa Cinta bersama Shukri Yahaya, Mark Adam dan ramai lagi.


Artikel Berkaitan


Komen