Tak Salah Bercinta Dengan Pengurus – Siti Nordiana

23 Mac 2016. 2.01 AM
17,765
Hiburan
Tak Salah Bercinta Dengan Pengurus – Siti Nordiana

Melihatkan situasi yang terjadi dunia hiburan, memang ada di antara selebriti yang menjalin hubungan dengan pengurus sendiri.

Pemenang Gegar Vaganza musim kedua yang kini didakwa bercinta dengan pengurusnya, Siti Nordiana turut bersetuju dengan perkara tersebut.

“Memang tidak salah menjalinkan hubungan cinta dengan pengurus sendiri. Perkara tersebut memang terjadi dalam dunia hiburan.

“Namun begitu, dakwaan yang mengatakan saya bercinta dengan pengurus adalah tidak benar. Hubungan yang terjalin antara saya dan pengurus cuma biasa-biasa sahaja. Tidak timbul perasaan yang lebih dari hubungan antara pengurus dan artis,” katanya kepada Astro Gempak.

Penyanyi yang mesra dengan nama panggilan Nana ini lebih suka mengambil tindakan berdiam diri bagi menjawab segala spekulasi yang bertiup.

“Dia menjaga saya semenjak tahun 2011 lagi. Saya lebih suka untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu dan mahu senyap sahaja bagi menutup mulut orang yang berkata-kata,” kata Nana.

Dalam perkembangan terbaru, Nana bakal menjayakan sambutan Minggu Setiausaha yang akan berlangsung pada 27 April ini di Atmosphere 360 Revolving Restaurant, Menara Kuala Lumpur.

“Selepas 16 tahun terlibat dalam dunia nyanyian, ini merupakan sambutan Minggu Setiausaha pertama yang saya jayakan. Kalau dulu saya hanya menyimpan impian sahaja, akhirnya rezeki datang juga kepada saya. Saya bakal menghiburkan tetamu yang hadir dengan seleksi lagu-lagu popular tahun 90-an dan juga lagu-lagu saya sendiri,” kata Nana.

Untuk menyaksikan Minggu Setiausaha bersama Siti Nordiana, peminat boleh menghubungi pihak Atmosphere 360 Revolving Restaurant di talian 03-20202020 atau 03-20202121. Tiket-tiket dijual pada harga RM198 sehingga RM209 seorang.

Kredit Foto: Instagram @sitinordiana


Artikel Berkaitan


Komen