Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim kelapan, Adira tidak mahu mengulas lanjut mengenai dakwaan yang mengatakan dia kini sedang hamil.

Beberapa minggu lalu, suami Adira, Datuk Seri Adenan Abu meninggalkan komen berupa emoticon gambar botol susu pada gambar Adira di laman Instagram miliknya.

"Perkara itu complicated. Saya tetap mempunyai pendirian yang sama seperti dahulu iaitu saya enggan memberikan komen atau penjelasan lanjut mengenai perkara itu. Saya harap semua pihak dapat mendoakan yang baik-baik untuk saya,” kata Adira.

Bernikah dengan Adenan di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015, kehidupan Adira selepas mendirikan rumah tangga berjalan dengan lancar walaupun ada pihak yang memandang negatif kerana statusnya sebagai isteri kedua.

“Syukur kerana kehidupan selepas berkahwin dipermudahkan. Komunikasi yang terjalin harus diberi penekanan kerana ianya membantu hubungan berjalan dengan lancar. Kalau kita memandang perkara yang mendatang dalam kehidupan berkahwin dari sudut positif, Insya-Allah semuanya akan jadi baik-baik sahaja,” katanya yang ditemui di sidang media finalis Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH29).

Tercalon dalam dua kategori di ABPBH29, Adira beranggapan yang semuanya adalah atas hasil usaha peminat yang menyokongnya semenjak hari pertama pembabitannya dalam dunia hiburan.

“Saya sendiri tak menyangka akan tersenarai dalam calon akhir kategori Penyanyi Wanita Popular dan Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular bersama Hafiz Suip. Saya sangat bersyukur dengan pencalonan ini dan akan meningkatkan hasil kerja saya untuk peminat di luar sana,” katanya menutup bicara.

Teks oleh: Kamaruddin Razal