Vokalis Slam, Zamani mengaku masih solo dan belum mempunyai kekasih hati dan menyerahkan soal jodohnya kepada qada’ dan qadar.

Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 42 turut menafikan kecewa dengan cinta lama punca dia belum berkahwin sehingga hari ini.

“Tiada istilah kecewa dalam hidup saya walaupun pernah beberapa kali putus cinta. Sebagai manusia biasa saya ada keinginan untuk berkahwin, tetapi mungkin belum tiba masanya.

“Tetapi saya tidak menolak sekiranya memang sudah ditakdirkan saya berkahwin. Saya serahkan semuanya kepada qada’ dan qadar,” katanya yang pernah beberapa kali putus cinta itu.

Tambahnya, dia perlu menerima hakikat jodohnya belum sampai tetapi jika ada wanita yang mahu menjadi suri hatinya mestilah seorang yang boleh menerima dirinya seadanya.

“Jika ada yang sudi, tidak salah saya mencuba. Tetapi di usia begini saya mahukan seorang wanita yang betul-betul boleh menerima saya seadanya.

“Wanita tersebut juga, kalau boleh biarlah yang betul-betul memahami saya. Bukan Zamani yang dikenali ramai dan popular,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut Zamani, jika dia telah bertemu dengan seorang wanita yang layak menjadi calon isterinya, pasti dia akan berkongsi cerita dengan khalayak.

“Doakanlah saya bertemu dengan wanita yang boleh menerima segala-galanya tentang diri saya. Bukan sahaja kebaikan tetapi juga keburukan yang wujud dalam diri saya.

Buat masa ini, itulah ciri-ciri wanita yang ingin saya cari,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Slam bakal beraksi dalam Konsert Kurnia Slam pada 14 Mei ini di Star Expo Centre, Kenanga Wholesale City, Kuala Lumpur.

Tiket Konsert Kurnia Slam dijual dengan harga RM88, RM158, RM198 dan RM399. Tiket boleh dibeli secara online menerusi www.ticketpro.com.my , outlet TicketPro atau panggilan telefon 03-78807999.