Sherry Ibrahim Anggap Gosip Cemburu Dengan Ruhainies & Fattah Tidak Relevan

30 Mac 2016. 12.09 AM
10,241
Hiburan
Sherry Ibrahim Anggap Gosip Cemburu Dengan Ruhainies & Fattah Tidak Relevan

Pelakon Sherry Ibrahim yang juga kekasih kepada aktor Fattah Amin menganggap gosip yang mengatakan dirinya cemburu dengan pelakon baru Ruhainies sebagai satu perkara yang tidak relevan.

Menerusi ruangan gosip di sebuah akhbar pada minggu lalu, timbul dakwaan mengatakan ada pihak yang cemburu apabila nama Ruhainies disenaraikan bersama Fattah untuk mengikuti sebuah program percutian bersama peminat di Bali, Indonesia.

Rentetan daripada gosip itu, ada yang mengandaikan bahawa Sherry ialah individu dimaksudkan sebagai pihak yang cemburu dengan Ruhainies dan ia telah menyebabkan nama Ruhainies digugurkan dari mengikuti percutian tersebut.

"Saya tidak cemburu. Tidak relevan untuk saya berkelakuan sebegitu. Saya sendiri bukannya baru dalam industri hiburan, jadi tidak timbul isu cemburu dan sebagainya. Saya tiada masalah dengan Ruhainies.

"Bila ia melibatkan mengenai soal kerjaya, saya bersikap profesional dan saya juga tahu yang Fattah juga begitu. Memandangkan pihak lain sudah memberikan penjelasan, saya rasa saya tidak perlu komen lanjut," kata Sherry ketika ditemui di sidang media program Gempak Superstar.

Lebih dikenali sebagai seorang pelakon, Sherry mahu menonjolkan bakat nyanyiannya menerusi program terbaru terbitan Astro, Gempak Superstar.

"Semenjak kecil, saya memang minat menyanyi. Namun begitu, usaha saya untuk keluar dengan single sebelum ini tidak menjadi kenyataan di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Apabila tawaran untuk menyertai program ini hadir, saya berfikir sejenak sebelum menerimanya. Akhirnya, saya memutuskan untuk menyertai program ini kerana ia merupakan satu platform yang bagus untuk mengasah bakat nyanyian saya," katanya.

Menolak tawaran lakonan lain sepanjang program ini berlangsung, Sherry mahu memberikan sepenuh tumpuan untuk program ini.

"Saya sudah tidak mengambil tawaran lakonan lain sepanjang program Gempak Superstar berlangsung kerana jadual program ini sendiri sudah padat. Saya sendiri harus betul-betul fokus dalam menjalankan latihan agar saya dapat melakukan persembahan yang baik di hadapan semua orang," katanya lagi.

Selain Sherry, antara pelakon lain yang menyertai rancangan ini ialah Siti Elizad, Raja Ilya, Nazim Othman, Arja Lee dan ramai lagi.

Dihoskan oleh Scha Alyahya dan Sharnaaz Ahmad, program Gempak Superstar bakal bersiaran setiap Ahad, bermula 10 April 2016 di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal


Artikel Berkaitan


Komen