Pelakon Izreen Azminda menafikan gosip yang mengatakan dia sedang bercinta dengan pelakon baru Redza Rosli.

"Redza cuma kenalan saya sahaja. Kami pernah berlakon dalam drama bersiri Kak Mar, tetapi tiada babak pun yang menggandingkan kami bersama.

"Saya sendiri tak tahu macam mana gosip ini boleh timbul. Saya kini bahagia dengan status solo dan gembira dengan kehidupan saya sekarang," kata Izreen kepada Astro Gempak.

Mengakui rimas dengan gosip yang mengaitkan dirinya menjalinkan cinta lokasi dengan pelakon-pelakon lelaki lain, Izreen menganggap ramai pihak yang tidak mengetahui cerita sebenar.

"Saya sering dikatakan menjalin hubungan cinta lokasi. Sejujurnya, saya sendiri rasa tidak selesa dan rimas. Pastinya ada pihak yang tidak tahu mengenai keadaan sebenar dan cerita yang tidak betul pun timbul," katanya yang ditemui di sidang media program Gempak Superstar.

Menerusi program tersebut, Izreen bersama sembilan orang pelakon lain menyahut cabaran untuk menonjolkan bakat nyanyian mereka.

"Apabila datangnya tawaran untuk meyertai program ini, saya rasa sangat terkejut. Saya sendiri mengaku yang saya tidak pandai menyanyi.

"Namun begitu, disebabkan program ini merupakan sesuatu yang baru dan menonjolkan sisi berbeza saya sebagai seorang selebriti, saya menyahut cabaran yang diberikan," katanya.

Selain menjadikan program Gempak Superstar sebagai satu pengalaman baru, Izreen juga mahu belajar mengenai cara lontaran vokal dan sebagainya.

"Selain mendapat pengalaman, saya mahu belajar sesuatu yang baru. Menerusi program ini, saya dapat belajar cara untuk menguasai pentas, melontarkan vokal dengan baik dan banyak lagi," kata Izreen.

Dihoskan oleh Scha Alyahya dan Sharnaaz Ahmad, program Gempak Superstar bakal bersiaran setiap Ahad, bermula 10 April 2016 di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal