Ziana Zain Nafi Bersikap Favoritism Di MLM 2016

2 April 2016. 11.00 AM
9,507
Zon Lawak
Ziana Zain Nafi Bersikap Favoritism Di MLM 2016

Juri tetap program Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016), Ziana Zain nafi mengamalkan sikap favortism setiap kali memberi komen kepada para peserta.

Ziana Zain atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain berkata, setiap teguran dan komen yang diberikan kepada para peserta hanya sebagai rujukan untuk mereka memperbaiki persembahan di masa hadapan.

“Saya sering sebut nama kumpulan seperti Bocey atau Joras sebagai contoh rujukan kepada peserta lain untuk terus berusaha selain beri semangat kepada mereka.

“Jadi tiada istilah favortism pun dalam MLM 2016. Saya beri contoh yang terdekat untuk mereka belajar bagaimana sesetengah kumpulan itu boleh tampil dengan idea dan persembahan yang semakin bagus,” katanya kepada Astro Gempak.

Jelas Ziana, para peserta seharusnya menerima kritikan dan komen juri sebagai satu cabaran di MLM 2016.

“Jika mahu jadi antara kumpulan yang terbaik di MLM, para peserta perlu terima setiap teguran yang diberikan barisan pihak juri untuk dijadikan satu cabaran. Saya akan ambil contoh yang terdekat sebagai rujukan yang paling mudah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, para peserta harus bersikap terbuka dan profesional setiap kali menerima teguran pihak juri.

“Setiap komen yang diberikan oleh pihak juri adalah satu cabaran untuk peserta. Anda perlu kuat dan tabah apabila berada di pentas MLM sama seperti saya yang sudah 26 tahun menjadi seorang penyanyi.

“Untuk jadi yang terbaik, para peserta harus mengharungi pelbagai kritikan dan teguran yang membina,” katanya.

Dalam pada itu Ziana percaya penyingkiran Bora di minggu kesepuluh kerana kurang idea serta pendedahan mengenai gaya persembahan lawak di Malaysia.

“Sejak minggu pertama saya suka dengan persembahan Bora. Tetapi mungkin kerana kekurangan idea membuatkan mereka tidak berjaya untuk menghiburkan para peminat pada malam ini.

“Jika mereka diberi peluang lebih lama, Bora pasti mampu berdiri setanding dengan kumpulan yang lebih senior di Malaysia,” katanya.

Minggu kesepuluh MLM 2016 menyaksikan Bora diumum kumpulan yang tersingkir selepas berada di tangga tercorot undian SMS penonton dan markah daripada pihak juri.

Maharaja Lawak Mega 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran secara langsung dari Dewan Teater Selangor, Shah Alam setiap hari Jumaat bermula jam 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Layari www.maharajalawakmega.com.my  untuk info lanjut. 

Teks Oleh: Khalid Rahman


Artikel Berkaitan


Komen