Seramai 10 orang kanak-kanak telah dipilih untuk menyertai program realiti baru terbitan Astro, Tahfiz Muda.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali, 10 calon tersebut telah dikenal pasti menerusi sesi ujibakat setelah melihat kelancaran mereka dalam menghafaz Al-Quran.

“Secara jujur, kami sendiri terkejut melihat kebolehan kanak-kanak ini menghafaz Al-Quran seawal usia 8 tahun lagi.

“Tidak dinafikan kebanyakkan peserta yang hadiri mempunyai bakat yang besar namun setelah penilaian dibuat berdasarkan kriteria yang ditetapkan, maka 10 peserta inilah telah dipilih,” katanya ketika ditemui pada sidang media Tahfiz Muda bertempat di Hotel Park Royal petang Selasa.

10 Tahfiz Muda yang dimaksudkan ialah Muhammad Syadril Idham Sable, 11, Muhammad Anas Ajwad Noor Hisham,10, Muhammad Uzair Ahmad Bakri, 9, Nurul Iman Kamila Norhisyam, 8, Muhammad Haneef Kamarulzaman, 8, Muhammad Aminuddin Mohd Basir, 9, Muhammad Amiruddin Mohd Basir,9, Fatimah Azzahra Bukhari, 12, Nura Mohd Nazir, 10, dan Mohamad Aqil Khair Mohamed Fairos, 11.

Dalam pada itu, Tahfiz Muda juga bakal diadili 100 peratus oleh tiga juri tetap iaitu Ustaz Zainuldin (Hakim Tajwid), PU Hafiz (Hakim Hafazan) dan Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Mohd Badiuzzaman (Hakim Tarannum Kreativiti).

Selain itu, program ini juga turut menampilkan Ustaz Don Daniyal sebagai Murabbi (pembimbing) manakala Imam Muda Asyraf selaku hos Tahfiz Muda.

Tahfiz Muda akan bersiaran setiap Khamis, jam 9.00 malam bermula 14 April 2016 secara eksklusif di Astro Oasis (saluran 106) dan Maya HD (saluran 135)