Pelawak Mr Os Meninggal Dunia

8 April 2016. 4.30 PM
65,765
Hiburan
Pelawak Mr Os Meninggal Dunia

Pelawak  Mr Os, 55, disahkan meninggal dunia pada jam 2.15 petang tadi di Hospital Selayang, Selangor akibat kanser paru-paru tahap keempat.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh anak perempuannya, Husna Yusof kira-kira jam 3.30 petang tadi menerusi kemaskini di laman Facebook miliknya.

“Assalamualaikum dan salam jumaat. Abah saya Mohd Yusof bin Abdul Hamid (Mr.os) telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Mohon ampun dan maaf dari pihak keluarga andai arwah pernah mengguris atau melukakan hati sesiapa dalam sedar atau tidak. Jenazah akan di bawa pulang ke Gombak AL-FATIHAH,” tulis Husna di laman Facebook miliknya.

Mr Os yang juga pernah menjuarai program realiti Maharaja Lawak Mega pada tahun 2011 cukup popular menerusi filem komedi era 80an seperti Awang Spanar, O.K (Orang Kampung Otak Kimia), Boss dan filem terakhirnya pada tahun lalu, Gangster Rock Kasi Sengat.

Terdahulu pada bulan Mac tahun lalu, laman media sosial dipenuhi dengan foto dan berita tersebar yang kononnya pelawak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu telah meninggal dunia.

Jenazah akan di bawa ke Surau Al-Muhajirin, Kampung Sri Gombak Indah, Batu Caves, Selangor  untuk disembahyangkan.

Astro Gempak mengucapkan tazkiah kepada keluarga di atas pemergian Mr Os.

Al-Fatihah. 


Artikel Berkaitan