Selepas empat tahun mencuba nasib di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM), kumpulan Saywho mengumumkan musim ini merupakan penyertaan mereka yang terakhir.

Saywho yang dianggotai oleh Vicha, Bocil dan Agus berkata, keputusan tersebut diambil kerana mereka mahu memberi peluang kepada muka-muka baru mencuba nasib di pentas MLM yang akan datang.

“Sudah tiba masanya kami beri kesempatan kepada orang lain untuk bersaing di pentas MLM. Contohnya Puteh, Rayza dan ramai lagi pelawak baru yang lebih fresh.

“Siapa tahu mungkin ada nama-nama baru dari Indonesia yang lebih bagus mahu mencuba nasib di MLM akan datang,” kata Saywho kepada Astro Gempak.

Bagaimanapun SayWho menolak kemungkinan bakal dibubarkan dalam masa terdekat.

“Saya dan Bocil kini menetap di Malaysia. Semuanya terserah kepada keputusan Agus samada mahu terus bersama SayWho atau tidak. Tidak dinafikan kami sudah serasi bersama," ujar Saywho.

Tambah SayWho lagi, ada beberapa faktor utama menyebabkan mereka tersingkir di minggu kesebelas MLM 2016.

“Di awal kemunculan MLM 2016, pastinya SayWho mempunyai spirit mahu menjadi juara. Tetapi apabila di pertengahan minggu, pasti ada beberapa masalah seperti pemahaman bahasa, kesukaran mencari idea yang bersesuaian dengan penonton Malaysia dan kadang kala ada rasa penat lebih-lebih lagi melibatkan gabungan tiga idea dalam satu kumpulan.

“Kami anggap penyingkiran ini sebagai hikmah yang diberikan oleh Allah SWT,” kata Saywho.

Trio dari Indonesia itu juga tidak kecewa walaupun gagal melangkah kaki ke pentas suku akhir MLM 2016.

“Kami okay sahaja dan sebenarnya ini adalah pencapaian luarbiasa dari SayWho kerana mampu beraksi sehingga minggu kesebelas MLM 2016.

“Tipu kalau kami tidak menyimpan impian untuk bergelar juara MLM 2016, tetapi mungkin setakat ini sahaja kami mampu bertahan,” luah Saywho.

Dengan tema Loghat dan Parodi, SayWho diumumkan kumpulan yang tersingkir di minggu kesebelas MLM 2016 selepas menerima undian paling rendah daripada penonton dan barisan juri.

Maharaja Lawak Mega 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran secara langsung dari Dewan Teater Selangor, Shah Alam setiap hari Jumaat bermula jam 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut.