Aktor terkenal, Aaron Aziz memberi ucapan semangat kepada pelakon Sherry Ibrahim.

Ucapan selamat maju jaya yang diberikan Aaron kepada Sherry adalah bersempena konsert pertama Gempak Superstar yang bakal berlangsung pada malam ini. Selain Aaron, Lisa Surihani turut menyampaikan ucapan kepada Sherry.

Menerusi carian menerusi hashtag #GempakSuperstar di laman Instagram, ramai selebriti lain turut memberikan semangat buat rakan-rakan mereka yang bakal bertanding pada malam ini.

Dalam pada itu, Fasha Sandha, Hafreez Adam dan Mira Filzah mengucapkan selamat berjaya kepada Izreen Azminda.

Penyanyi terkenal, Ella dan Misha Omar pula mengucapkan selamat berjaya kepada Elizad Sharifuddin.

Program Gempak Superstar yang bersiaran secara langsung di Studio Pinewood, Iskandar Johor ini diacarakan oleh Scha Alyahya dan Sharnaaz Ahmad.

Peserta program Gempak Superstar mendapat bimbingan daripada Datuk Ramli MS selaku Penasihat Vokal dan Pengarah Muzik, Datin Marlia Musa dan Pat Ibrahim selaku Penasihat Drama serta Hanafi Rosdi bertindak sebagai Penasihat Koreografi.

Setiap minggu, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Amy Mastura bertindak selaku juri tetap disamping seorang pengarah yang akan diundang sebagai juri jemputan.

Pengasas produks D Herbs, Datuk Aliff Syukri selaku penaja utama akan membaca respon penonton di laman sosial mengenai program Gempak Superstar.

Jangan lupa untuk menyaksikan Gempak Superstar setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123). Layari www.gempaksuperstar.com.my dan gunakan hashtag #GempakSuperstar untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.