Pelakon Zahiril Adzim menjelaskan ada di kalangan peminat yang mempertikaikan pemakaiannya selepas mengambil keputusan untuk mendalami agama Islam.

Menurut Zahiril atau nama sebenarnya Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokthar, cara berpakaian bukan faktor utama untuk seseorang itu berubah ke arah kebaikan.

“Realitinya bukan pemakaian yang patut kita ambil tahu, tetapi hati. Sebab itu pakaian saya masih lagi seperti sebelum ini. Tapi ada mulut-mulut yang mempersoalkan mengenai penampilan saya selepas mendalami agama Islam.

“Sebenarnya hati kita yang perlu berhijrah terlebih dahulu,” katanya kepada Astro Gempak.

Jelas Zahiril, dia juga kurang bersetuju dengan perkataan ‘hijrah’ yang sering digunakan terhadap artis yang mendalami agama Islam kerana memberi persepsi berbeza oleh umum.

“Bila orang cakap artis kini berhijrah, saya sendiri tidak suka konsep atau perkataan ‘Hijrah’ kerana seolah-olah kami dari golongan yang tidak elok. Padahal ramai sahaja di kalangan kami yang bergelar artis semuanya bagus-bagus belaka.

“Jadi pada saya, Zahiril Adzim bukan berhijrah tetapi balik kepada ‘jalan Allah SWT’,” ujarnya.

Tambah Zahiril lagi, ada juga di kalangan peminat yang menganggap golongan artis tidak boleh berlakon selepas berhijrah atau mendalami ilmu agama.

“Ada juga peminat yang minta saya berhenti berlakon selepas mendalami agama Islam. Mereka terlalu melihat perkara yang zahir, bukan perkara yang indah dalam Islam. Saya sendiri kini mengkaji skrip terlebih dahulu apabila terima tawaran.

“Memang saya mengekalkan untuk bersentuhan dengan bukan muhrim dan jika anda lihat ada adegan tersebut di kaca televisyen, mungkin itu sebelum saya ‘berhijrah’,” jelasnya mengakhiri perbualan.

Dalam perkembangan lain, Zahiril antara selebriti yang terlibat menerusi kempen 25 Rasul bakal mendekati penonton dengan tiga kaedah utama iaitu Nyanyian Lagu, Puisi Moden dan Tazkirah.

Dengan tema ‘Cara Cool Mengenai Rasul’, Zahiril bakal menjayakan segmen “Spoken Words” yang sudah mula ditayangkan sejak 30 Mac lalu di Astro Oasis (106) dan Maya HD (135).

Teks Oleh : Khalid Rahman