Pelakon dan penyanyi terkenal, Fauziah Datuk Ahmad Daud kecewa dengan persembahan yang ditampilkan oleh peserta Gempak Superstar.

"Sejujurnya, saya agak kecewa dengan persembahan yang ditunjukkan oleh peserta di konsert pertama Gempak Superstar. Saya melihat mereka sebagai pelakon berbakat, jadi elemen kejutan harus disampaikan di setiap persembahan yang ditampilkan" kata wanita yang mesra disapa sebagai Ogy ini.

Berada di kerusi juri tetap program Gempak Superstar disamping penyanyi dan pelakon Amy Mastura, Ogy mahu sesuatu yang lebih daripada barisan peserta Gempak Superstar.

"Saya menjangkakan sesuatu yang ekstra daripada mereka. Peserta seharusnya sudah tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan kamera dan audiens. Namun begitu, saya percaya yang ini hanya permulaan dan mereka pastinya boleh melakukan sesuatu yang lebih baik di minggu akan datang," katanya di sidang media usai konsert pertama Gempak Superstar.

Dalam pada itu, juri jemputan konsert pertama Gempak Superstar, pengarah Micheal Ang bersetuju dengan apa yang disampaikan oleh Ogy.

"Saya setuju dengan pendapat Ogy. Kebanyakan peserta hilang konsentrasi di tengah-tengah persembahan mereka. Namun begitu, ada juga yang berjaya memegang dan membawa watak yang diberikan sehingga ke akhir persembahan seperti Ryzal Jaafar dan Siti Elizad.

"Apapun, para peserta telah memberi persembahan yang terbaik di konsert yang pertama dan saya percaya masih ada ruang untuk penambahbaikan di minggu konsert yang seterusnya," kata Micheal.

Program Gempak Superstar yang bersiaran secara langsung di Studio Pinewood, Iskandar Johor ini diacarakan oleh Scha Alyahya dan Sharnaaz Ahmad.

Peserta program Gempak Superstar mendapat bimbingan daripada Datuk Ramli MS selaku Penasihat Vokal dan Pengarah Muzik, Datin Marlia Musa dan Pat Ibrahim selaku Penasihat Drama serta Hanafi Rosdi bertindak sebagai Penasihat Koreografi.

Setiap minggu, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Amy Mastura bertindak selaku juri tetap disamping seorang pengarah yang akan diundang sebagai juri jemputan.

Pengasas produks D Herbs, Datuk Aliff Syukri selaku penaja utama akan membaca respon penonton di laman sosial mengenai program Gempak Superstar.

Jangan lupa untuk menyaksikan Gempak Superstar setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123). Layari www.gempaksuperstar.com.my dan gunakan hashtag #GempakSuperstar untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.