Fizo Omar Kecewa Peminat Fareeda Disamakan Dengan Binatang

12 April 2016. 11.35 AM
9,913
Hiburan
Fizo Omar Kecewa Peminat Fareeda Disamakan Dengan Binatang

Pelakon Fizo Omar meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang menyamakan peminat tudung Fareeda seperti haiwan.

Menurut Fizo, perkara itu agak keterlaluan apabila gelaran itu diberi berdasarkan video viral yang tersebar baru-baru ini tanpa mengetahui kejadian  sebenar.

“Kalau kata pihak Fareeda melayan peminat kami seperti lembu, saya rasa perkataan itu agak kurang sesuai. Manusia tetap manusia dan mereka bukan binatang.

“Peminat adalah aset kami dan kerana sokongan mereka jugalah Fareeda berjaya hingga ke hari ini.

“Saya berasa kecewa apabila peminat Fareeda disama tarafkan dengan binatang oleh segelintir pihak dan saya rasa itu agak melampau.

“Situasi itu bukan kami yang rancang, kejadian itu berlaku di luar kawalan dan kami tidak berniat langsung untuk membuatkan keadaan itu jadi begitu.

“Tidak adil bagi segelintir pihak yang menilai kejadian itu hanya menerusi video, komen-komen di Facebook serta mendengar khabar angin tanpa mengetahui perkara sebenar dan terus memberikan ulasan dengan meletakkan level manusia sama seperti binatang itu adalah sangat tidak profesional,” katanya ketika ditemui pada sidang media Fareeda bertempat di Marriot Putrajaya pada Isnin.

Mengulas mengenai video yang dimuatnaik di laman sosial, Fizo yang juga merupakan Pengurus Pemasaran Fareeda memberitahu niatnya hanya ingin berkongsi kegembiraan dan kemeriahan peminat yang hadir pada hari berkenaan.

“Memang benar video tersebut dimuatnaik oleh saya sendiri dengan niat ingin berkongsi kegembiraan dan kejayaan tudung Fareeda hingga berjaya mencetuskan fenomena.

“Jauh sekali dalam fikiran saya untuk bersikap riak ataupun menunjuk-nunjuk seperti yang didakwa. Saya sendiri pun tak sangka video itu menjadi viral kerana ia berlaku di luar jangkaan.

“Begitu juga dengan kejadian yang berlaku, walaupun kami telah menempatkan anggota RELA namun  apabila pelanggan mula bertindak agresif menyebabkan pasukan keselamatan tidak dapat mengawal keadaan.

“Disebabkan keadaan huru-hara, mereka mula bercampur diantara lelaki dan perempuan tanpa mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Pada hari tersebut pihak kami hanya mengeluarkan sebanyak 1,000 nombor giliran tapi lain pula jadinya apabila pelanggan yang hadir adalah kira-kira 2,000 orang melebihi dari jumlah yang sepatutnya.

“Jadi untuk mengelakkan kejadian ini berulang, untuk keluaran Fareeda yang akan datang, kami bercadang untuk memilih lokasi yang lebih sesuai seperti di stadium untuk memberikan keselesaan kepada pelanggan.” jelasnya.

Terdahulu, Fizo dan isterinya, Mawar teruk dikritik netizen apabila video yang memaparkan orang ramai berebut-rebut mengambil nombor giliran untuk membeli tudung dibutik tersebut menjadi viral.

BACA: NETIZEN MENYAMPAH, FIZO & MAWAR TERSENYUM BANGGA TENGOK ORANG REBUT TUDUNG


Artikel Berkaitan


Komen