Pelakon Tasha Shilla bersedia jika disingkirkan dari program Gempak Superstar.

Berada di tangga tercorot, Tasha meraih undian terendah di konsert minggu pertama Gempak Superstar. Walau bagaimanapun, tiada penyingkiran berlaku pada konsert pertama Gempak Superstar.

"Andai ditakdirkan jika saya tersingkir di minggu akan datang, saya sudah bersedia. Kalah menang adat pertandingan. Apa yang penting, saya sudah melakukan yang terbaik di setiap persembahan saya.

"Apabila saya mendapat undian terbawah, saya tidak memikirkannya langsung. Saya hanya memikirkan mengenai persembahan yang saya sampaikan dan diri saya sendiri. Saya rasakan yang saya sudah berikan yang terbaik kerana sebelum ini pun saya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang muzik," kata Tasha.

Gembira kerana dapat menyampaikan apa yang diajarkan kepadanya, Tasha berjanji mahu memberikan yang terbaik kepada semua penonton Gempak Superstar.

"Saya positif dan gembira dengan persembahan saya kerana saya sampaikan apa yang diajar oleh konsultan kepada saya. Apa yang penting, saya mahu memberikan persembahan yang terbaik setiap minggu," katanya.

Program Gempak Superstar yang bersiaran secara langsung di Studio Pinewood, Iskandar Johor ini diacarakan oleh Scha Alyahya dan Sharnaaz Ahmad.

Peserta program Gempak Superstar mendapat bimbingan daripada Datuk Ramli MS selaku Penasihat Vokal dan Pengarah Muzik, Datin Marlia Musa dan Pat Ibrahim selaku Penasihat Drama serta Hanafi Rosdi bertindak sebagai Penasihat Koreografi.

Setiap minggu, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Amy Mastura bertindak selaku juri tetap disamping seorang pengarah yang akan diundang sebagai juri jemputan.

Pengasas produks D Herbs, Datuk Aliff Syukri selaku penaja utama akan membaca respon penonton di laman sosial mengenai program Gempak Superstar.

Jangan lupa untuk menyaksikan Gempak Superstar setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123). Layari www.gempaksuperstar.com.my dan gunakan hashtag #GempakSuperstar untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.