Isyana Sarasvati Mahu Berduet Dengan Siti Nurhaliza

15 April 2016. 1.57 PM
4,864
Hiburan
Isyana Sarasvati Mahu Berduet Dengan Siti Nurhaliza

Penyanyi baru Indonesia, Isyana Sarasvati menyimpan hasrat untuk berkolaborasi bersama penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza.

Gadis kelahiran Bandung yang berusia 22 tahun ini merupakan seorang peminat muzik dan nyanyian Siti semenjak dia di bangku sekolah.

“Saya meminati Siti semenjak kecil lagi. Jika diberi peluang untuk berkolaborasi dengan penyanyi di Malaysia, sudah tentu saya mahu memilih Siti kerana dia merupakan seorang penyanyi yang hebat dan berbakat,” kata Isyana kepada Astro Gempak.

Isyana yang kini menempa nama di Malaysia dengan single Tetap Dalam Jiwa gembira apabila lagunya mendapat tempat peminat muzik tempatan.

“Ketika lagu ini popular di Indonesia, saya berada di London. Apabila saya pulang sahaja ke Indonesia, saya menjadi sangat terkejut kerana lagu ini benar-benar menjadi siulan. Saya juga bersyukur ketika menerima perkhabaran yang lagu ini mula mendapat tempat di hati peminat Malaysia,” kata Isyana.

Mempunyai bakat dalam bidang muzik, Isyana turut berkebolehan mengendalikan alat muzik seperti piano, organ, biola dan saksofon.

“Saya memang seorang peminat muzik semenjak kecil, terutamanya muzik klasikal. Selain menyanhi, saya juga boleh bermain alat muzik. Saya berharap agar perjalanan muzik saya dapat diterima oleh peminat, bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di Malaysia,” katanya menutup bicara.

Isyana muncul dengan album perdananya, Explore pada November tahun lalu. Selain Tetap Dalam Jiwa, Isyana juga popular dengan lagu Keep Being You dan Kau Adalah. 




Artikel Berkaitan


Komen