Ustaz Nasihat Ali XPDC Tidak Berhenti Menyanyi

18 April 2016. 1.41 PM
7,993
Hiburan
Ustaz Nasihat Ali XPDC Tidak Berhenti Menyanyi

Vokalis kumpulan rock XPDC, Ali, mengaku pernah menyimpan hasrat berhenti menyanyi selepas mengambil keputusan untuk mendalami agama Islam.

Bagaimanapun menurut Ali, atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, kenalannya yang juga seorang ustaz menasihatkan supaya tidak berbuat demikian untuk kebaikan aktiviti berdakwah.

“Saya pernah buat rujukan dengan seorang kenalan ustaz mengenai hasrat untuk berhenti menyanyi sebab banyak perkara bercanggah dengan agama Islam, namun beliau tidak bersetuju dan minta jangan sia-siakan kelebihan yang Allah SWT telah berikan.

“Jadi saya gunakan kelebihan yang ada untuk sampaikan dakwah kepada umum dengan muzik,” katanya kepada Astro Gempak.

Menurut Ali, dia mengambil nasihat tersebut untuk muncul dengan sebuah album berkonsepkan dakwah pada tahun 2014.

“Saya pernah muncul dengan sebuah album kolaborasi dengan Ustaz Azhar Idrus yang berjudul ‘Maghfirah Mu’ yang diedarkan di masjid dan ceramah-ceramah agama. Walaupun tiada pelancaran rasmi atau liputan oleh pihak media, Alhamdulillah mendapat sambutan positif," ujarnya. 

Dalam pada itu, Ali berhasrat untuk mengekalkan imej berjubah ketika mengadakan persembahan nyanyian atau konsert berskala besar.

“Kami InsyaAllah akan Istiqomah dengan jubah sebab ianya satu kelebihan yang kita akan dapat bila melakukan perkara-perkara sunnah Allah SWT akan permudahkan segala urusan.

“Pada awalnya ada peminat rasa pelik dengan penampilan terbaru XPDC, tetapi Alhamdulillah lama kelamaan boleh terima dan mereka minta kami kekal dengan imej berjubah,” katanya.

Ali bakal muncul pada konsert  'Rentap Kasi Sentap May Vs XPDC' 1 May ini, bertempat di Padang B, Plaza Angsana, Johor Bahru.

Konsert dijangka bermula jam 8.30 malam dan tiket boleh didapati dengan harga RM30, RM50, dan RM100 (Rockzone).

Sebarang info mengenai tiket boleh dilakukan menerusi talian 016-9160809 atau 07-2328634. 

Kredit Foto. Me Portal


Artikel Berkaitan


Komen