Selepas tiga musim program Sembang Teh Tarik bersiaran, Astro Warna mengambil inisiatif memperkenalkan Sembang Teh Tarik Kaw dengan pengisian yang lebih mantap.

Sembang Teh Tarik Kaw menggunakan format terbaharu program yang bersifat lebih dinamik untuk meningkatkan lagi keterujaan penonton.

Menurut Ketua Saluran dan Kandungan Komedi Astro Warna, Bob Azrai Kamaruddin, program Sembang Teh Tarik Kaw mendapat nafas baru selepas menerima banyak maklumbalas positif daripada penonton.

“Selepas kejayaan Sembang Teh Tarik selama tiga musim, Astro Warna mengambil inisiatif untuk menambah lagi keterujaan penonton dengan menampilkan beberapa segmen baru dalam program tersebut dan dinamakan sebagai Sembang Teh Tarik Kaw.

“Apa yang boleh kami janjikan Sembang Teh Tarik Kaw akan lebih menarik perhatian umum serta memberi kepuasan maksimum kepada penonton,” katanya ketika majlis sidang media program tersebut di Teh Tarik Place, One Utama.

Tambah Bob, antara pengisian terbaru yang bakal ditampilkan dalam Sembang Teh Tarik Kaw ialah jemputan barisan artis terkenal tanah air dan beberapa segmen terbaru yang diperkenalkan.

“Tidak hanya menjemput selebriti menaiki kereta ‘vintage’ dan berchit chat di sebuah kafe, Sembang Teh Tarik Kaw kali ini turut memperkenalkan segmen baru iaitu Ac-Car-Ok, Wow, Prank Kaw Kaw, Chita Chat Y’all, Lawak One On One, Wa Cabar Sama Lu dan Showtime," katanya.

Dalam pada itu, Bob menjelaskan menjadi kebiasaan bagi sesebuah program bual bicara mempunyai format atau konsep yang sama dengan beberapa rancangan antarabangsa terkenal seperti Tonight Shaw Starring Jimmy Fallon dan Late Show With James Corden.

“Ianya menjadi satu kebiasaan jika sesebuah program seperti Sembang Teh Tarik Kaw memiliki persamaan konsep dengan lambakan program bual bicara yang terkenal. Apa yang membezakan sesebuah program bual biacara adalah hos dan pengisian yang dibawakan,” ujar Bob lagi.

Masih mengekalkan Datuk AC Mizal sebagai hos utama, program Sembang Teh Tarik Kaw bakal menampilkan Datuk Hans Isaac, Datuk Yusof Haslam, Datuk M.Nasir, Sharnaaz Ahmad, Johan Raja Lawak, Lisa Surihani & Yusry, Fasha Sandha, Tomok, Black Hanifah, Janna Nick, Amy Search, Sari Yanti dan ramai lagi.

Sembang Teh Tarik Kaw bakal menemui penonton mulai 6 Mei 2016, pada setiap hari Jumaat, pukul 10 malam secara eksklusif di Astro Warna (132) serta siaran serentak di Mustika HD (134).