Bekas juara Kilauan Emas 5, Mustar menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai juara Kilauan Emas Otai yang diadakan secara langsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras pada malam Rabu.

Mustar atau nama sebenarnya Mustaffa Rasyid Abd. Jabar, 47, menerima hadiah berupa wang tunai RM150,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Naib juara pula milik Fuad atau Ahmad Fuad Zaharullail, 48 yang juga juara Kilauan Emas musim ke-dua berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 dan trofi.

Manakala tempat ketiga milik pesara tentera dari Perak, Idris atau nama sebenarnya Idris Mohd Shabidin, 54, dan melayakkan dia menerima hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 berserta trofi.

Sementara itu Nas atau Mohammad Nasiruddin Mohd Hashim yang merupakan pemenang tempat ke-lima Kilauan Emas musim keempat terpaksa berpuas hati ditempat terakhir dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi.

Keputusan mengejutkan apabila peserta tersingkir pada konsert separuh akhir, Silah dipilih sebagai penerima hadiah Anugerah Khas Juri dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM 10,000.

Terdahulu, kesemua peserta berentap di pusingan solo dengan tema bebas sebelum ke pusingan duet bersama artis jemputan.

Hadiah disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh, diiringi Pengurus Saluran Astro Prima, Farah Fauzana Zainol Kamar.

Markah peserta diadili 50 peratus daripada penilaian juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Erra Fazira, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan komposer popular Suhaimi Md. Zain (Pak Ngah) manakala 50 peratus lagi berdasarkan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) penonton.