Filem Redha Terima Maklumbalas Positif

25 April 2016. 2.43 AM
5,691
Hiburan
Filem Redha Terima Maklumbalas Positif

Memasuki minggu kedua tayangan, filem Redha menerima maklumbalas positif penonton yang menyaksikannya di panggung wayang.

"Alhamdulillah, semenjak filem ini ditayangkan, ramai yang gemarkan filem ini. Rata-rata respon yang saya terima merupakan respon positif penonton yang menyaksikan filem Redha," kata Tunku Mona Riza selaku pengarah filem Redha.

Disebalik respon positif yang diterima Tunku Mona, filem ini kurang mendapat sambutan penggemar filem tempatan.

"Secara jujurnya, apabila bercakap mengenai kutipan, penjualan tiket yang diterima oleh filem Redha kurang memberangsangkan. Namun begitu, saya menerima banyak kritikan positif mengenai filem ini.

"Filem Redha juga menarik minat golongan bukan Melayu untuk datang ke pawagam dan sama-sama menyaksikan filem ini kerana topik autisme yang diangkat sebagai tema penceritaan filem," katanya lagi.

Dalam pada itu, Tunku Mona turut mendedahkan yang filem Redha menjadi rujukan kepada ibu bapa yang mempunyai anak autisme.

"Saya turut mendapat tahu yang ada doktor pakar kanak-kanak menyarankan ibu bapa yang mempunyai anak autisme untuk menonton filem Redha. Kami berharap agar matlamat kami untuk memberikan pemahaman dan menyuntik kesedaran mengenai autisme berjaya dicapai," katanya lagi.

Membariskan nama bintang seperti Namron, June Lonjong, Remy Ishak, Nadiya Nisaa dan ramai lagi, filem Redha ditayangkan bermula 14 April lalu.


Artikel Berkaitan


Komen