Pelakon dan pengacara Zizan Razak menafikan kedai serbaneka miliknya, Zizan Mart gulung tikar.

Pemilik nama penuh Mohd Razizan Razak, 32, menjelaskan yang Zizan Mart hanya ditutup buat sementara waktu.

"Jika ada yang cakap Zizan Mart terus tutup, perkara itu tidak benar sama sekali. Penutupan kedai serbaneka Zizan Mart hanyalah bersifat sementara sahaja," kata Zizan kepada Astro Gempak.

Zizan Mart terletak di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan. Kedai serbaneka itu mula beroperasi pada 18 Ogos 2015 dan dirasmikan oleh Zizan bersama Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Abdul Fattah Mahmood.

Dalam pada itu, pelakon filem Polis Evo ini enggan mendedahkan punca penutupan sementara kedai serbaneka Zizan Mart.

"Saya memohon maaf kerana saya tidak boleh mendedahkan faktor Zizan Mart ditutup buat sementara waktu atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan.

"Saya baru sahaja pulang dari Thailand untuk menjalani penggambaran filem Bikers Kental 2 dan saya akan berjumpa pihak pengurusan Zizan Mart untuk menyelesaikan isu yang timbul dalam kadar segera," katanya yang ditemui di sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH 29) semalam.

Zizan bakal mengendalikan ABPBH 29 selaku peneraju acara. Selain Zizan, pelakon filem Abang Long Fadil itu akan bergandingan bersama AG, Haiza dan Mira Filzah.

Majlis anugerah tersebut bakal berlangsung pada Ahad, 8 Mei 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).