Terima Banyak Tajaan Perkahwinan, Tauke Jambu Anggap Rezeki

27 April 2016. 4.20 PM
16,928
Hiburan
Terima Banyak Tajaan Perkahwinan, Tauke Jambu Anggap Rezeki

Pelawak Tauke Jambu mengakui ramai pihak sudi menjadi penaja walaupun belum menetapkan tarikh majlis perkahwinan dengan tunangnya, Nadia.

Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, berkata, dia menganggap perkara tersebut sebagai rezeki walaupun tidak mengharap sebarang tajaan dari mana-mana pihak.

“Alhamdulillah setakat ini memang ada yang email sudi untuk taja pelamin, jurukamera, baju kahwin dan jurusolek. Cuma saya tunggu masa yang sesuai untuk pilih tarikh perkahwinan sahaja. Insya Allah dalam tahun ini juga,” kata Tauke kepada Astro Gempak.

Bagaimanapun menurut Tauke, perbincangan bakal dilakukan terlebih dahulu dengan pihak penaja bagi mengelakkan sebarang salah faham yang berlaku di hari perkahwinannya kelak.

“Sebelum ada kata putus atau menerima sebarang tajaan, saya akan  buat perbincangan di antara dua belah pihak. Saya tak boleh sesuka hati terima sahaja tanpa capai sebarang persetujuan.

“Sekurang-kurangnya tidak akan timbul sebarang masalah sehingga menimbul rasa tidak puas hati,” ujarnya.

Tambahnya lagi, majlis perkahwinannya itu bakal diadakan secara besar-besaran. 

“Sebenarnya kalau boleh nak buat secara sederhana sahaja. Insya-Allah saya akan jemput semua ahli keluarga, kenalan, teman media dan peminat untuk hadir dan meraikan majlis perkahwinan saya. Saya tak mahu nanti ada pula yang berkecil hati sebab tak dijemput,” katanya teruja.

Dalam pada itu, Tauke meluahkan rasa gembira kerana diberi kepercayaan untuk menjadi hos gandingan dengan kumpulan De Fam dalam program terbaru Astro, Dangdut Star.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana diberi peluang oleh pihak Astro untuk mengendalikan program Dangdut Star dan secara tidak langsung saya mencuba cabang baru iaitu bidang pengacaraan.

“Tambahan lagi bergandingan dengan kumpulan De Fam. Walaupun masih terlalu baru, kami mempunyai keserasian,” katanya mengakhiri perbualan.

Program Dangdut Star menampilkan Penulis lirik terkenal, Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah dan penyanyi dangdut terkenal tanah air, Mas idayu diberi kepercayaan untuk menjadi juri tetap dan menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Saksikan Dangdut Star dihoskan oleh pelawak Tauke Jambu dan trio De Fam yang bakal bersiaran bermula 27 April selama enam minggu, setiap hari Rabu, jam 9 malam di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).


Artikel Berkaitan


Komen