Pelawak dan pengacara popular Jihan Muse kecewa akaun instagramnya digodam pihak tidak bertanggung jawab sehingga dipautkan ke laman lucah.

Jihan atau Nur Jihan Musa, 33, ketika ditemui Astro Gempak berkata dia kecewa apabila mengetahui turut menjadi mangsa penggodam.

“Sebelum saya, beberapa artis lain juga dah terkena. Apa yang saya kesalkan, mereka terus pautkan Instagram (IG) saya ke laman porno.

“Ya, saya marah kerana IG saya bukan sahaja tempat untuk saya beramah mesra dengan para peminat, tetapi ia juga melibatkan urusan kerja.

“Saya tak faham kenapa perlu ada golongan begini yang mempunyai banyak masa untuk buat perkara-perkara tak berfaedah,” katanya.

Tambah Jihan lagi, dia berharap agar semua peminatnya tidak tertipu dengan kewujudan akaun IG lain.

“Saya tidak mempunyai akaun IG lain selepas digodam kerana saya sedang cuba untuk mendapatkan kembali akaun lama saya,” katanya pada konsert ke-tiga Gempak Superstar, Ahad lepas.

Terkini, Astro Gempak difahamkan Jihan telah membuka sebuah akaun IG baru menggunakan nama ‘ jihanmuse_kuji sebelum berjaya mendapatkan kembeli username terdahulunya ‘JIHANMUSE’.

Setakat ini, akaun IG terbaru ‘JIHANMUSE’ telah mempunyai seramai 14.8 ribu pengikut.

Jihan dan suami, Ungku Hariz kini berada di Korea menjalani penggambaran program Romantika terbitan Astro.