Peserta Gempak Superstar yang tersingkir pada malam konsert Ahad lalu, Tasha Shilla, akui merupakan peserta paling ‘biasa’ berbanding 10 yang lain.

Tasha Shilla atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd Razak, 29, berkata sejak awal lagi dia tidak pernah menganggap Gempak Superstar sebagai satu pertandingan.

“Saya akui dalam 10 peserta, saya yang paling zero knowledge pasal muzik. Sebab itu saya positif apabila disingkirkan pada minggu ini sebab kalau nak dibandingkan dengan yang lain, mereka ada vokal yang bagus.

“Saya dah get ready untuk disingkir. Konsultan pun agak takut bila saya memilih untuk menyanyikan lagu My Heart Will Go On, bagaimanapun saya puas hati kerana telah buat persembahan yang terbaik

“Apa yang penting saya mahu penonton enjoy setiap kali saya perform. Suara saya letak di belakang kerana I want my aundiences enjoy my performance,” katanya ketika ditemui selepas konsert ketiga program itu pada Ahad lalu.

Mengulas mengenai komen sesetengah pihak yang menganggapnya memperbodohkan diri menyertai program realiti Gempak Superstar, pelakon berbakat besar ini meminta ia dipandang dari sudut yang positif.

“Kita fikir positif. Tak perlu fikir pandangan orang nak cakap kita bodohkan diri atau apa. Yang penting, kita utamakan diri kita dahulu.

“Selepas menyertai Gempak Supertar, saya dah belajar teknik nyanyian dan mendapat ilmu tentang itu bersama nama-nama besar industri muzik. Bukan semua orang ada peluang macam tu dan ia satu pengalaman berharga buat diri saya yang tak dapat dibeli di mana-mana.

“Lagi satu, ia satu peningkatan buat diri saya. Saya sudah berada satu langkah di hadapan. Sebelum ni Tasha berlakon, sekarang saya menyanyi di atas pentas secara langsung bersama pemuzik-pemuzik profesional,” jawabnya positif.

Gempak Superstar diadili tiga juri profesional setiap minggu dan menggunakan sistem pemarkahan 50% oleh juri tetap dan 50% lagi adalah berdasarkan undian penonton melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Undian secara online juga boleh dilakukan menerusi laman web www.gempaksuperstar.com.my

Program ini turut menampilkan empat nama besar selaku barisan tenaga penasihat iaitu Datuk Ramli MS selaku pengarah muzik dan vokal, Datin Marlia Musa, Pat Ibrahim (penasihat drama) dan Hanafi Rosdi (penasihat koreografi) untuk membantu serta memberi bimbingan kepada para peserta.

Gempak Superstar bersiaran setiap Ahad, jam 9.00 secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).