Peserta Gempak Superstar, Arja Lee yang berada di tangga teratas pada konsert ketiga minggu lalu, terkejut selepas mengetahui tentang individu yang tidak berpuas hati dengan dirinya.

“Siapalah saya untuk didengkikan. Saya tak pernah buat salah dengan sesiapa. Saya sertai program Gempak Superstar untuk mengetengahkan bakat nyanyian saya.

“Tak dinafikan saya mempunyai pengalaman dalam bidang nyanyian, lakonan dan lain-lain tetapi saya tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk berada di sini.

“Kelebihan saya adalah pengalaman, tetapi kelemahan saya ialah fan based. Saya tidak mempunyai peminat yang ramai seperti kawan-kawan saya yang lain, jadi tidak sepatutnya timbul isu dengki,” katanya merendah diri.

Dalam pada itu, Arja turut mengakui tertekan apabila diumumkan sebagai peserta yang berada di kedudukan teratas pada konsert ketiga Ahad lalu.

“Saya sendiri tidak menyangka akan berada di kedudukan pertama. Pada minggu petama, saya berada di kedudukan tidak selamat tetapi saya usaha untuk meningkatkan lagi prestasi persembahan saya.

“Selepas itu kedudukan saya lebih baik pada minggu kedua dan pada minggu ketiga saya nombor satu! Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada konsultan, Pat Ibrahim yang telah banyak memberti tunjuk ajar kepada saya.

“Saya juga berterima kasih kepada semua yang telah mengundi saya,” katanya ketika ditemui selepas konsert minggu ketiga Gempak Superstar, Ahad lepas.

Tambah Arja, dia ingin terus mengekalkan prestasinya pada setiap minggu dan berharap agar dapat melakukan yang terbaik dalam persembahannya untuk minggu-minggu seterusnya.

Gempak Superstar diadili tiga juri profesional setiap minggu dan menggunakan sistem pemarkahan 50% oleh juri tetap dan 50% lagi adalah berdasarkan undian penonton melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Undian secara online juga boleh dilakukan menerusi laman web www.gempaksuperstar.com.my

Program ini turut menampilkan empat nama besar selaku barisan tenaga penasihat iaitu Datuk Ramli MS selaku pengarah muzik dan vokal, Datin Marlia Musa, Pat Ibrahim (penasihat drama) dan Hanafi Rosdi (penasihat koreografi) untuk membantu serta memberi bimbingan kepada para peserta.

Gempak Superstar bersiaran setiap Ahad, jam 9.00 secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).