Pelakon kacak, Remy Ishak berkenalan dengan aktres Fathia Latiff dalam masa dua jam di pertemuan pertama mereka.

Perkenalan tersebut merupakan antara adegan menarik dalam sebuah telefilem terbaru arahan pengarah tersohor Sabri Yunus, Pangkalan Batu 6 yang bakal disiarkan menerusi slot Karya 12 di Astro Citra.

“Menerusi Pangkalan Batu 6, saya tampilkan Fathia dan Remy sebagai watak utama. Saya menggarap kisah dua orang remaja yang dilakonkan oleh Fathia dan Remy. Mereka bertemu buat pertama kalinya di sebuah pangkalan.

“Kerana bot yang mereka bakal naiki tiba lambat dua jam, mereka berkenalan dalam masa tersebut dan terdetik rasa cinta di hati mereka. Menariknya, tragedi yang tidak disangka-sangka berlaku di tempat sama mereka dipertemukan,” kata Sabri.

Dalam pada itu, Sabri juga mendedahkan sebab mengapa dia menerima tawaran untuk menjadi salah seorang pengarah yang menghasilkan telefilem untuk slot Karya 12 selain Bernard Chauly, Osman Ali, Yusry Abdul Halim, Ghaz Abu Bakar dan Micheal Ang.

“Jika melihatkan kepada umur, saya yang paling berusia di antara mereka yang lain. Namun begitu, jika mahu dibandingkan dengan pengalaman, mereka sudah terlebih dahulu melibatkan diri dalam dunia pengarahan.

“Saya menerima tawaran yang diberikan oleh pihak Astro kerana saya merasakan ianya sebagai satu penghormatan untuk diri sendiri apabila nama saya diletakkan sebaris dengan nama pengarah-pengarah Malaysia yang berbakat besar,” katanya lagi.

Jangan lupa saksikan telefilem Pangkalan Batu 6 lakonan Fathia Latiff, Remy Ishak dan ramai lagi dalam slot Karya 12, malam ini (Ahad), jam 10.00 malam di saluran Astro Citra (131) dan Mustika HD (134). Gunakan hashtag #Karya12 untuk berinteraksi mengenai telefilem ini di laman sosial.