Neelofa Tak Nafi Kontroversi Naikkan Nama

9 Mei 2016. 1.30 PM
34,568
Hiburan
Neelofa Tak Nafi Kontroversi Naikkan Nama

Pemenang Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH 29), Noor Neelofa Mohd Noor tidak menafikan namanya popular kerana kontroversi.

"Saya setuju dan tidak menafikan yang kontroversi sedikit sebanyak menaikkan nama saya. Melihat kepada tahun pertama dan kedua saya dalam bidang hiburan, nama saya banyak terpalit dengan isu panas.

"Masuk tahun ketiga, perkara itu semakin kurang dan di tahun keempat, saya dapat mengatasi masalah tersebut. Lama kelamaan, saya dapat menghindarkan diri dari kontroversi," kata Neelofa kepada Astro Gempak.

Mengakui sukar baginya untuk mengekalkan momentum dalam bidang hiburan, Neelofa mengambil iktibar atas setiap kontroversi yang terjadi kepada dirinya.

"Setiap isu yang timbul, saya ambil perkara itu sebagai satu perkara yang positif. Lama kelamaan, saya dapat atasi isu yang berbangkit dan menjadikan perkara itu sebagai pengajaran. Saya juga lebih berhati-hati memberi kenyataan dan jika ada kontroversi, saya mengambil pendirian untuk senyap sahaja," kata pengacara rancangan MeleTop ini.

Tidak menyangka dapat merangkul trofi Bintang Paling Popular, Neelofa bersyukur dengan kemenangan yang diraihnya selepas enam tahun terlibat dalam industri hiburan.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dapat merangkul trofi Pengacara TV Popular dan anugerah utama Bintang Paling Popular. Semuanya kerana peminat yang tidak henti-henti menyokong saya.

"Insya-Allah, saya akan mencuba lebih lagi untuk bertahan dan memberikan yang terbaik dalam bidang hiburan," katanya mengakhiri temubual.


Artikel Berkaitan


Komen