Penyanyi Pop dan R&B terkenal antarabangsa, Janet Jackson dikhabarkan hamil dua minggu sebelum menyambut hari lahirnya yang ke-50.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya, adik kepada mendiang Michael Jackson itu menyatakan kekecewaan terpaksa menunda tarikh konsert jelajahnya kerana mengalami masalah kesihatan.

“Ada perkara yang penting anda perlu tahu. Saya dan suami sedang merancang sesuatu untuk keluarga kami, saya terpaksa menunda tarikh konsert jelajah yang kedua.

“Doktor menasihatkan saya untuk berehat akibat masalah kesihatan. Jangan gusar, saya tidak akan melupakan anda semua. Siri jelajah akan diteruskan dalam masa terdekat,” katanya.

Berita tersebut memberi kejutan dan pelbagai spekulasi peminat kononnya Janet dan suami bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun ada di antara mereka menganggap ianya mustahil memandang usia Janet yang semakin lanjut.

Janet Jackson sebelum ini dikhabarkan telah memeluk agama Islam selepas mendirikan rumah tangga dengan hartawan terkenal kelahiran Qatar, Wissam Al-Mana pada 2012.