Pelakon Izzue Islam teruja sebaik sahaja mendapat tahu filem lakonannya berjudul Aliff Dalam 7 Dimensi diterbitkan dalam bentuk komik.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan berkata, sebagai seorang peminat novel grafik sudah pasti berasa seronok apabila wataknya dilukis dalam bentuk komik.

“Saya memang peminat komik Gempak Starz dan bila diberitahu tentang perkara ini, saya memang teruja habis.

“Bayangkan komik yang kita ‘gila-gilakan’ dulu tiba-tiba watak kita pulak ada dalam tu, fuh siapa yang tak rasa seronok kan?

“Sebut sahaja nama Gempak Starz, semua orang tahu karya yang mereka terbitkan memang popular.

“Dengan kerjasama Kadokawa Gempak Starz, saya rasa secara tak langsung sedikit sebanyak membantu dari segi promosi untuk filem tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut baru-baru ini.

Bercakap mengenai komik itu, Izzue menjelaskan filem terbitan Astro Shaw dalam versi komik ini merupakan prekuel kepada filem tersebut.

“Apa yang menarik ialah komik ini menceritakan tentang perkara yang berlaku kepada Aliff sebelum dia masuk ke kolej.

“Manakala situasi ketika berada di kolej akan ditunjukkan melalui filem, kalau nak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada Aliff, kenalah baca komik dan untuk sambungannya pula kena tonton filem.

“Untuk cerita ini genrenya pula adalah monster creature feature dimana kita tunjukkan hantu itu dalam bentuk monster. Satu lembaga hitam dan bermata merah.

“Cerita yang serius tapi dalam masa sama pengarahnya, Faisal Ishak ada juga menyelitkan unsur-unsur komedi.

“Lagi-lagi dengan watak Naim yang dilakonkan oleh Alif Satar, pasti tak akan kering gusi,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Izzue baru sahaja selesai penggambaran untuk drama berjudul Patahnya Sebelah Sayap yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Komik Aliff Dalam 7 Dimensi sudah mula berada dipasaran seluruh Malaysia sejak awal Mei ini.

Sinopsis:

Aliff baru mewarisi saka peliharaan keluarganya, dan kemudiannya bertemu dengan Zul iaitu seorang remaja yang memiliki kuasa sepertinya.

Untuk menjadi lebih kuat, Zul dan sakanya telah menewaskan dan memakan makhluk-makhluk ghaib lain semata-mata untuk mendapatkan kuasa mereka.

Bimbang Zul akan menjadikan manusia sebagai sasaran seterusnya, Aliff bergegas untuk menhalangnya.

Malangnya Aliff kalah dan kehilangan sakanya. Tanpa saka, mampukah Aliff menghalang Zul yang semakin dahagakan kuasa?