Altimet Simpan Hasrat Tembusi Pasaran Muzik Indonesia

11 Mei 2016. 3.01 PM
7,009
Hiburan
Altimet Simpan Hasrat Tembusi Pasaran Muzik Indonesia

Penyanyi Rap, Altimet berhasrat untuk menembusi pasaran muzik Indonesia selepas kejayaan dijemput mengadakan persembahan di Festival South By South West (SXSW) di Austin, Texas.

Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman berkata, Indonesia memiliki pasaran muat turun muzik telefon pintar terbesar di dunia dan pengaruh muziknya sangat besar.

“Hasrat saya sebenarnya adalah untuk menembusi pasaran muzik di Indonesia, bukan Amerika Syarikat. Pasaran negara seberang juga lebih besar.

"Saya mengaku meletakkan sasaran tinggi walaupun saya sedar ia agak sukar. Saya tak tahu bagaimana nak melakukannya tapi macam mana pun saya akan cuba juga," katanya kepada Astro Gempak.

Menurut Altimet, faktor bahasa dan perkembangan muzik di Indonesia juga antara faktor utama dia sangat berminat untuk menembusi pasaran mereka.

“Pengaruh muzik di Indonesia sangat besar, bayangkan kalau anda mahu muzik dimainkan di stesen radio di sana, anda perlu bayar mereka. Satu perbelanjaan yang besar, tetapi bukan alasan untuk tidak meneruskan visi dan misi saya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia merancang untuk berkolaborasi dengan nama yang cukup besar di Indonesia sebagai salah satu strategi utamanya.

“Insya-Allah saya akan adakan kolaborasi dengan penyanyi terkenal di Indonesia tetapi masih belum dedahkan siapa. Ianya antara perancangan utama saya untuk cuba memperkenalkan muzik dan nama Altimet di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Altimet turut berkongsi pengalaman mengadakan persembahan dengan kumpulan The Kawan Band di festival SXSW iaitu The Kawan Band pada bulan Mac yang lalu.

“Satu pengalaman baru sebab kami diberi penghormatan untuk memperkenalkan muzik daripada Malaysia. Persembahan Altimet & The Kawan Band mendapat respon positif daripada peminat muzik di sana yang kagum dengan keunikan muzik yang dibawakan.

“Insya-Allah dalam masa terdekat Altimet & The Kawan Band bakal muncul dengan sebuah album yang dirakam secara live khas untuk peminat,” katanya.


Artikel Berkaitan


Komen