Trio Pop Rock tempatan, PaySlip menjelaskan tidak mahu populariti kumpulan XPDC membayangi perjalanan muzik mereka.

Menurut Arif atau nama sebenarnya Nik Mohd Arif, mereka mempunyai hala tuju muzik yang cukup berbeza dengan kumpulan XPDC.

“Kami sebenarnya tidak pernah melabelkan diri sendiri sebagai XPDC Junior. Mungkin saya anak kepada Izo XPDC, jadi orang secara spontan ingat kami bakal mewarisi muzik bawaan XPDC.

"Kami tidak pernah cuba meniru atau menggunakan nama XPDC untuk meraih populariti,” katanya kepada Astro Gempak.

Kumpulan PaySlip ditemui sewaktu pelancaran single terbaru kumpulan PaySlip, ‘Wonderful Life (Mi Oh My)’ yang juga lagu tema filem animasi 3D untuk filem The Angry Birds Movie.

Arif berkata, Payslip lebih selesa membawakan genre muzik mengikut perkembangan semasa tempatan mahupun antarabangsa .

“Rasanya PaySlip akan kekal membawakan genre Pop Rock kerana bersesuaian dengan minat kami sendiri selain bersesuaian dengan pasaran sekarang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, PaySlip ditubuhkan bukan sekadar eksperimen muzik atau hanya untuk mengisi masa yang terluang.

“Kami bertiga sangat minat dengan muzik dan meletakkan PaySlip sebagai keutamaan. Saya dan Jimmy sendiri melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di universiti tempatan.

"Ia memudahkan kami untuk berkarya menghasilkan karya yang lebih bagus khas buat peminat,” katanya.

Dalam pada itu, Payslip mereka sangat teruja apabila diberi peluang dan kepercayaan untuk membawakan lagu tema Bahasa Melayu filem The Angry Birds Movie.

“Kami sangat bangga sebab ianya salah satu kelebihan untuk peminat muzik tempatan mengenali kumpulan PaySlip. Ditambah lagi nama Angry Birds itu sendiri sudah besar, jadi ianya banyak membantu perjalanan muzik kami,” katanya.

Sementara itu PaySlip juga dalam menjalani rakaman album kedua mereka yang bakal dilancarkan pada tahun hapadan.

“Insya Allah single Wonderful Life ini akan turut dimuatkan dalam album kedua kami. Menarik untuk album kedua ialah perbezaan muzik yang cukup ketara dan ianya hampir siap,” ujarnya.