Yazit Enggan Mohon Maaf, Serah Pada Search Untuk Tindakan Seterusnya

12 Mei 2016. 5.24 PM
42,054
Hiburan
Yazit Enggan Mohon Maaf, Serah Pada Search Untuk Tindakan Seterusnya

Pemain dram Search, Yazit Ahmad enggan membuat permohonan maaf seperti yang dituntut kumpulan rock lagenda itu, semalam.

Pemuzik berusia 54 tahun itu berkata, tiada sebab untuk dia memohon maaf dan menarik balik laporan polis yang dilakukan pada 4 Mei lalu di Balai Polis Wangsa Maju.

"Untuk apa saya mohon maaf? Tentang laporan polis dan dakwaan pecah amanah, saya tidak akan tarik balik malah, akan membuat laporan polis yang kedua pada petang ini.

"Bagaimanapun saya tidak bersedia untuk menjelaskan isi kandungan laporan tersebut sekarang," kata Yazit pada satu sidang media khas yang diadakan di G-Tower, Kuala Lumpur, petang Khamis.

Sementara itu peguam yang mewakili Yazit, Mohamad Saiful Dzulhelmi Zulkifli menerusi sidang media tersebut berkata, kumpulan Search berhak untuk mengenakan apa jua tindakan selepas ini.

Dalam pada itu Yazit turut meluahkan rasa terkilannya selepas mendapat tahu namanya dikeluarkan daripada Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Search dan penganjur Konsert 35 Tahun Search, AF Jets Sdn. Bhd.

"Saya tidak faham mengapa nama saya dikeluarkan dari MoU tersebut. Saya yakin ada dalang dalam Search yang mahu menyingkirkan saya dari kumpulan.

"Mengenai bayaran RM75,000 pula, saya sahaja yang tidak menerima apa-apa pun daripada jumlah tersebut.

"Jika benar RM75,000 itu untuk tujuan promosi, mengapa cek dibayar atas nama individu sebanyak RM18,750 setiap seorang selepas dibahagi empat?", luahnya kesal.

Ditanya mengenai pembabitannya mengenai Konsert 35 Tahun Search yang dijadualkan berlangsung pada Ogos ini, Yazit akui sudah tawar hati untuk bersama kumpulan rock lagenda tersebut.

"Untuk apa lagi saya bersama mereka di pentas, sedangkan akan ada yang memaling muka dan duduk berkelompok. Saya tidak mahu hipokrit," katanya yang juga ahli lembaga pengarah Syarikat Pengurusan Go Search.


Artikel Berkaitan