Bakat baru dalam bidang hiburan tempatan, Raja Syahiran mahu memberikan sepenuh fokusnya terhadap bidang lakonan.

Pernah merangkul gelaran juara bagi pencarian Bakat JoHaRa Era FM pada tahun 2012, Syahiran bakal muncul dalam sebuah karya yang berjudul Hey Orang Kita yang akan bersiaran di Astro First bermula 19 Mei ini.

“Ini merupakan telefilem pertama yang saya lakonkan. Dalam karya arahan Zara Kahan ini, saya membawa watak sebagai Hassan, seorang jejaka yang tidak mempunyai kad pengenalan.

“Sejujurnya, berlakon merupakan sesuatu yang baru untuk saya dan saya seronok dengan pengalaman pertama ini. Bila saya sudah memulakan langkah dalam lakonan, saya mahu memberikan fokus dalam bidang ini,” kata Syahiran kepada Astro Gempak.

Bercakap mengenai cabaran yang diterima olehnya dalam merealisasikan watak Hassan, Syahiran melakukan kajian untuk membawa watak seorang lelaki yang tidak mempunyai kewarganegaraan.

“Watak ini memerlukan saya untuk membuat kajian yang terperinci. Saya mencari individu yang melalui situasi sama seperti Hassan dan menyelami keadaan mereka. Saya juga menonton filem Slumdog Millionaire untuk membuat rujukan mengenai kehidupan orang miskin dan anak yatim piatu,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, jejaka yang bernaung di bawah Uprising Entertainment ini sedang giat mempromosikan single terbarunya yang berjudul Biarkan Aku. Syahiran juga kini berada dalam semester akhir bagi melengkapkan pengajiannya dalam Sarjana Muda Perniagaan di Management and Science University.

Jangan lupa saksikan Hey Orang Kita yang dibintangi oleh Raja Syahiran, Talitha Tan, Christian B Palencia dan Takahara Suiko secara eksklusif di Astro First (saluran 480) bermula 19 Mei 2016 dengan harga RM15.90.