Pelawak Harith Iskander, bakal muncul sebagai hos dalam sebuah bual bicara terbaru,‘Obviously Harith Iskander’ (OHI) bermula 28 Mei ini.

Program berunsur jenaka terbitan Astro Awani ini mendapat ilham melalui rancangan bual bicara antarabangsa yang dikendalikan oleh pengacara terkenal seperti Jimmy Fallon, James Corden dan Jimmy Kimmel.

Menurut Harith atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, keistimewaan utama OHI adalah tetamu istimewa yang datang dari pelbagai latarbelakang di Malaysia.

“Ianya bual bicara pertama lewat malam pertama di Malaysia yang pertama dalam Bahasa Inggeris walaupun mempunyai format yang sama seperti program lain yang pernah anda tonton.

“Apa yang menarik adalah tetamu yang terdiri daripada individu berpengaruh dan terkenal di Malaysia seperti Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tony Fernandes untuk episod pertama,” kata Harith sewaktu majlis pelancaran program bual bicara ‘Obviously Harith Iskander’ di Bobo, Kuala Lumpur.

Ujar Harith lagi, OHI turut menampilkan pelbagai topik terkini untuk dibincangkan bersesuaian dengan tetamu undangan.

“Ramai yang bertanyakan apakah soalan-soalan yang bakal ditujukan kepada tetamu istimewa OHI, ianya mengikut berita serta perkembangan terkini. Terima kasih kepada pihak produksi Astro Awani yang sentiasa memastikan ianya berada di landasan yang betul,” jelas Harith.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Awani, Faizal Mansor menjelaskan pemilihan Harith Iskander bertepatan dengan pengalaman yang dimilikinya dalam bidang komedi tanah air.

“Kajian trend ke atas rakyat Malaysia menunjukkan rakyat Malaysia gemar menonton program bual bicara berasaskan komedi. Pemilihan Harith bersesuaian dengan kredibiliti sebagai seorang stand-up comedy yang telah menghiburkan kita sejak dua dekad yang lalu,” ujar Faizal Mansor.

Selain Tan Sri Tony Fernandes, OHI turut menampilkan Datin Paduka Marina Mahathir, Jaclyn Victor, Dato’ Seri Nazir Razak, Adibah Noor dan ramai lagi. Lebih istimewa OHI turut menampilkan lagenda Jazz, Michael Veerapan selaku pengarah muzik untuk program ini.

Saksikan program bual bicara lewat malam ‘Obviously Harith Iskander’ yang bakal bersiaran apda 28 Mei, setiap hari Sabtu bermula jam 9.30 malam di Astro Awani (501) dan distrimkan secara langsung di www.astroawani.com.

Layari www.obiviosulyharith.com untuk maklumat lanjut.