Pelakon Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah mengaku tidak akan mengikat tali pertunangan sebaliknya akan terus melangsungkan majlis perkahwinan pada tahun ini.

Bagaimanapun menurut Azwan yang telah menghantar rombongan merisik Ezzaty di Bentong, Pahang baru-baru ini, tarikh pernikahan masih belum ditetapkan.

“Tarikh pernikahan kami belum tetapkan lagi. Tetapi saya akan bertemu dengan keluarga Ezzaty as soon as possible untuk menetapkan tarikh hari bahagia kami.

“Mungkin ketika cuti sekolah, atau selepas. Kalau tidak pun selepas raya. Semuanya tertakluk kepada kelapangan jadual kami,” katanya.

Sementara itu Ezzaty mengaku keputusan untuk tidak melangsungkan majlis pertunangan dilakukan olehnya.

“Saya rasa tidak perlulah bertunang kot, kerana saya tidak mahu membazir wang dan masa. Saya dengar, bertunang banyak cabaran, jadi lebih baik tidak,” ujarnya ketawa.

Azwan dan Ezzaty dikatakan mula menjalin hubungan cinta pada awal tahun lalu selepas dilihat sering memuat gambar bersama di akaun Instagram masing-masing.

Pasangan ini mula mengenali hati budi masing-masing selepas menghadiri sebuah program realiti TV.