Telefilem terbaru yang bakal ditayangkan di Astro First Eksklusif, Hey Orang Kita memaparkan cabaran empat anak muda dalam mengharungi liku-liku kehidupan di Kuala Lumpur yang penuh dengan pancaroba.

Diarahkan oleh Zara Kahan, telefilem ini akan mula ditayangkan di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 19 Mei ini. Sebelum ini, siri Hey Orang Kita telah pun menemui penonton secara dalam talian menerusi 4 webisodes yang dimuatnaik di FEEFO.TV.

Dibintangi 4 bintang muda yang cukup berbakat, Hey Orang Kita mengangkat tema kehidupan dan bagaimana setiap dari mereka berusaha meloloskan diri dari benteng dan kepompong masalah masing-masing.

Hey Orang Kita menampilkan Raja Syahiran, Talitha Tan, Christian B Palencia dan Takahara Suiko yang merupakan nama yang tidak asing lagi di laman Youtube mahupun media sosial yang lain. Selain mempunyai kelompok peminat tersendiri, keempat-empat mereka memiliki keunikan masing-masing.

“Kami di Astro berhasrat memberikan karya-karya yang segar dan menarik buat penonton setia kami, dan oleh sebab itulah kami berhatap genre muzikal yang ditampilkan Hey Orang Kita dapat menarik minat penyokong muzik tempatan terutamanya mereka yang biasa akan babak seni dan muzik indie tanahair.

“Hey Orang Kita juga merupakan sebuah penghargaan kami kepada semua anak-anak seni tempatan yang sentiasa berusaha keras menyampaikan interpretasi karya mereka yang tersendiri. Bukan sahaja mengenengahkan muka-muka baru, mereka berempat ini mempunyai keistimewaan tersendiri baik dari segi lakonan dan juga keupayaan mengalunkan lagu-lagu dengan cara yang unik,” kata Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Hey Orang Kita mengisahkan kehidupan 4 anak muda, Hassan, Lilian, Hartini dan Clayton yang berhijrah ke Kuala Lumpur dalam usaha keluar dari kancah masalah kehidupan yang mereka hadapi. Hari demi hari, pelbagai rintangan mereka lalui. Daripada konflik keluarga sehinggalah melibatkan diri mereka dalam kancah sosial masyarakat, setiap dugaan yang mereka hadapi ditempuhi dengan tabah.

Hey Orang Kita akan mula bersiaran secara eksklusif di Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 19 Mei 2016. Dengan hanya RM15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, seperti lazimnya para penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.