Lirik Boleh Blah Dianggap Malas, Nana Sheme Sedia Dikritik

17 Mei 2016. 2.03 PM
27,450
Hiburan
Lirik Boleh Blah Dianggap Malas, Nana Sheme Sedia Dikritik

Penyanyi Nana Sheme sedia menerima kritikan terhadap lagu ‘Boleh Blah’ yang dikatakan mempunyai lirik malas dan penggunaan bahasa kurang baik.

Menurut Nana atau nama sebenarnya Nur Nabilah Hashimi, dia melihat kritikan tersebut sebagai satu teguran positif.

“Saya hanya penyampai dan penyanyi kepada penulis lirik dan komposer disebalik lagu yang dinyanyikan.  Apabila diberikan kepercayaan untuk menyanyikan lagu 'Boleh Blah', saya mengambil tanggungjawab besar untuk membawa lagu tersebut sepositif yang boleh," kata Nana kepada Astro Gempak.

Dia ditemui ketika sidang media memperkenalkan album Nana Sheme yang telah pun berada di pasaran sejak 22 Mac lalu.

Bagaimanapun menurut Nana, kritikan yang diterima secara tidak langsung memberi peluang kepada peminat muzik tanah air untuk mengenali lagu-lagunya dengan lebih dekat.

“Dia macam dua dalam satu, kritikan secara tidak langsung dapat mempromosikan lagu-lagu saya sehingga mereka betul-betul menghayati lirik sampai tahu apa kesalahan yang terdapat dalam lagu tersebut,” ujarnya.

Tambah Nana lagi, dia pernah merasa sedih apabila lagu-lagunya seringkali dikritik oleh peminat muzik tempatan.

“Apabila 'Boleh Blah dikritik saya tak rasa sedih sebab pernah mengalami situasi yang sama ketika kemunculan lagu 'Hantu Atau Buaya'. 

"Lagu tersebut tetap diterima walaupun mendapat respon negatif daripada umum. Saya cuma berharap pendengar bagi peluang untuk kenal dahulu lagu 'Boleh Blah' macam mana, itu sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai album pertamanya, ramai peminat tidak sedar ia telah berada di pasaran sejak  Mac lalu.

“Sebenarnya Saya sibuk dan fokus dengan pelajaran sebelum ini sehingga tidak sempat untuk mempromosikan album. Selepas tamat diploma, sekarang baru saya berpeluang untuk aktif kembali dalam bidang nyanyian,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nana Sheme bakal muncul dengan 'Boleh Blah' versi Kelantan duet bersama Zura, penyampai radio THR Gegar tidak lama lagi.  

“Saya dapat respon daripada pendengar radio THR Gegar yang mahu lagu tersebut dalam versi Kelantan memandangkan sebelum ini saya pernah muncul dengan versi Iban. Lagu tersebut akan dilancarkan menerusi radio THR Gegar pada 19 Mei ini,” kata Nana mengakhiri perbualan.

Album Nana Sheme memuatkan enam buah lagu dengan bonus DVD yang memuatkan empat buah muzik video dan diedarkan oleh Life Records.


Artikel Berkaitan