Peserta Dangdut Star Tak Perlu Malu Menari – Datuk M Daud Kilau

18 Mei 2016. 4.53 PM
16,358
Hiburan
Peserta Dangdut Star Tak Perlu Malu Menari – Datuk M Daud Kilau

Penyanyi veteran Datuk M Daud Kilau memuji program Dangdut Star kerana telah mengembalikan zaman kegemilangan irama tersebut.

M Daud Kilau, 77, berkata program tersebut merupakan yang pertama di Malaysia memfokuskan tentang irama itu disaat ia semakin dilupakan peminat hiburan tanah air.

“Saya merupakan penonton setia program Dangdut Star dan saya suka format program ini. Sekurang-kurangnya ada juga pihak yang sudi mengangkat semula dangdut ke pentas hiburan.

“Sebagai pejuang irama dangdut saya berbangga apabila generasi sekarang turut menggemari dangdut,” katanya ketika di temui Astro Gempak pada sidang media penubuhan Bintang Dangdut Malaysia petang Selasa.

Dalam pada itu, M Daud Kilau sempat memberi komen terhadap persembahan para peserta Dangdut Star yang kelihatan malu untuk menari.

“Tarian adalah penguat kepada dangdut. Kenapa perlu malu-malu nak menari? Lagi satu, saya perasan ada di antara peserta yang tidak senyum ketika membuat persembahan.

“Jangan begitu, menyanyi dangdut wajah kena murah dengan senyuman dan perlu lincah menari di atas pentas barulah dangdut,” ujarnya ketawa.

Dalam perkembangan lain, M Daud Kilau memberitahu akan kembali beraksi di pentas selepas kesihatannya benar-benar pulih.

“Saya terpaksa menolak daripada menerima sebarang undangan nyanyian selepas mengalami masalah kesihatan sejak Januari lalu. Alhamdulillah walaupun diberi dugaan dengan kesihatan yang kurang baik tetapi Allah ganti dengan pelbagai undangan nyanyian.

"Tapi saya terpaksa menolak kesemuanya kerana ingin berehat dan memastikan kesihatan benar-benar pulih.

"Rindu juga hendak menghiburkan peminat tetapi saya perlu utamakan kesihatan buat masa ini," katanya.

Penyanyi lagu Cek Mek Molek itu mendapat rawatan di Hospital Selayang hampir sebulan pada Februari lalu akibat masalah prostat.

Selain masalah prostat, Raja Gelek itu turut mempunyai penyakit kencing manis dan masalah buah pinggang.

Beliau sebelum itu dimasukkan ke Hospital Teluk Intan selepas mengalami komplikasi membuang air kecil.

Mengulas mengenai penubuhan Bintang Dangdut Malaysia, M Daud Kilau berkata, ia satu perkembangan positif yang dapat menaikkan irama dangut di mata masyarakat.

"Akhirnya ada sebuah persatuan yang akan membela nasib penyanyi yang memperjuangkan irama dangdut dan saya melihat ia suatu perkembangan baik.

"Semua artis dangdut dapat bersatu dalam menaikkan lagi irama berkenaan yang sebenarnya mempunyai banyak peminat," katanya.

Kepada semua peminat Dangdut Star, jangan lupa untuk menyaksikan program yang dihoskan oleh pelawak Tauke Jambu dan De Fam pada malam ini, jam 9 malam di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).


Artikel Berkaitan


Komen