Fouziah Gous dan Hisyam Hamid Terajui Musim Terbaru Strawberi & Karipap

19 Mei 2016. 12.53 PM
23,726
Hiburan
Fouziah Gous dan Hisyam Hamid Terajui Musim Terbaru Strawberi & Karipap

Dua pelakon popular, Hisyam Hamid dan Fouziah Gous menjadi teraju utama bagi musim terbaru siri drama komedi kanak-kanak kegemaran ramai, Strawberi & Karipap (SK) di samping dua bintang cilik, Mia Sara dan Rykarl Iskandar.

Menariknya, SK yang sudah memasuki musim ketiga telah menjalani pengambaran di Hong Kong, menerusi kerjasama yang dijalinkan bersama pihak Hong Kong Tourim Board. Sinematografi berlatar belakangkan bandaraya Hong Kong yang cukup moden pastinya memberikan mood yang berbeza dalam drama bersiri ini.

“SK merupakan antara program Astro Ceria yang mendapat sambutan baik daripada penonton kami. Rata-ratanya tertarik dengan telatah Nini dan Haikal di samping jalan cerita yang sesuai ditonton seisi keluarga. Justeru, kami bawakan musim terbaru drama ini dengan barisan pelakon yang lebih hebat, juga garapan jalan cerita yang lebih menarik, khas untuk pengikut setia drama ini.

“Kami gembira apabila drama SK diterima baik penonton di rumah. Sudah pasti, kami telah melakukan penambahbaikan ke dalam musim kali ini terutamanya dalam memastikan mesej kekeluargaan itu disampaikan dengan cukup berkesan,” kata Penolong Naib Presiden Astro Ceria dan Segmen Remaja, Hadzelynda Khairuddin.

Musim terbaru SK membawa penonton mengikuti kisah Nini (Mia Sara) dan Haikal (Rykal Iskandar) selepas Pak Su (Zizan Nin) dan Aunty Lisa (Nelydia Senrose) berkahwin. Ibu kandung Nini, Maya (Fouziah Ghous) membuat kejutan kepada Nini dan Haikal apabila mengajak mereka tinggal di Hong Kong bersama-sama Faris (Hisyam Hamid).

Ikuti perjalanan kisah hidup keluarga kecil mereka menerusi drama komedi bersiri terbitan Global Station, Strawberi & Karipap musim ketiga yang bersiaran pada setiap hari Sabtu, jam 11.00 pagi secara eksklusif menerusi saluran Astro Ceria (611) dan siaran serentak di Maya HD (135) bermula 7 Mei 2016.


Artikel Berkaitan